Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG gagal batalkan kebenaran SLS cabar hak 40 peratus hasil Sabah

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Peguam Negara (AG) untuk mengketepikan cabaran Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) untuk meneruskan semakan kehakiman melibatkan isu hak 40 peratus hasil negeri itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim P Nallini hari ini menafikan kebenaran kepada AG untuk memulakan rayuan.

Susulan itu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akan mendengar merit semakan kehakiman berhubung dakwaan kegagalan kerajaan persekutuan untuk memulangkan jumlah wang yang diperolehi dari Sabah kepada kerajaan negeri.

Tindakan sivil itu dikaitkan dengan hasil tahunan ketika apa yang dinamakan sebagai "tahun yang hilang" antara 1974 dan 2022.

Dua tahun lalu, SLS memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk membatalkan warta kerajaan persekutuan bagi geran tahunan RM125.6 juta untuk Sabah, dengan mendakwa ia melanggar hak hasil negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu kemudian memberikan kebenaran kepada SLS untuk meneruskan tindakan berkenaan dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan tersebut.

SLS mendakwa kegagalan kerajaan persekutuan menyemak semula pembayaran pada tahun 1974 adalah pelanggaran kewajipannya di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 112D menyatakan bahawa pemberian tahunan kerajaan persekutuan kepada Sabah tertakluk kepada semakan berkala.

Peruntukan untuk pemberian itu dibentangkan di bawah Perkara 112C(1)(a), dibaca bersama Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan.

Antara lain, ia menyatakan bahawa kerajaan persekutuan hendaklah memberikan kepada Sabah geran tahunan bersamaan dengan "dua perlima daripada jumlah hasil bersih yang diperolehi oleh persekutuan dari Sabah melebihi hasil bersih yang sepatutnya diperoleh pada tahun itu" .

Walau bagaimanapun, mengikut Perkara 112D, jika kerajaan persekutuan dan negeri bersetuju, mereka boleh mengubah atau memansuhkan geran ini, atau membuat geran baharu sebagai pengganti geran yang dinyatakan dalam Perlembagaan.

Perkara 112D juga menggariskan pelbagai faktor yang perlu dipertimbangkan dalam semakan, termasuk kedudukan kewangan kerajaan persekutuan, keperluan kerajaan negeri, dan memastikan kerajaan negeri mempunyai hasil yang mencukupi untuk menampung kos perkhidmatannya.

Pemberian itu adalah sebahagian daripada konsesi yang diberikan kepada Sabah kerana menyertai Tanah Melayu dan Sarawak untuk membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963.

Menurut laporan berita, berikutan semakan pertama di bawah Perkara 112D pada 1969, kedua-dua kerajaan bersetuju dengan jumlah berikut sebagai ganti geran untuk Sabah di bawah Perkara 112C(1)(a): RM20 juta pada 1969, RM21.5 juta dalam 1970, RM23.1 juta pada tahun 1971, RM24.8 juta pada tahun 1972, dan RM26.7 juta pada tahun 1973.

Semakan kedua sepatutnya dilakukan pada tahun 1974 tetapi dikatakan tidak menjadi kenyataan.

Sebaliknya, menurut jawapan parlimen pada 6 Mac tahun lalu, Sabah dibayar RM26.7 juta untuk setiap tahun berikutnya sehingga semakan semula dilakukan pada 2022.

Susunan baharu selepas semakan 2022, menurut Warta Persekutuan pada April 2022 ialah: RM125.6 juta pada 2022, RM129.7 juta pada 2023, RM133.8 juta pada 2024, RM138.1 juta pada 2025, dan RM142.6 juta pada 2026.

Jumlah itu mencecah RM669.8 juta dalam tempoh lima tahun.

Bagaimanapun, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Anwar Ibrahim memberitahu Parlimen tahun lalu dalam jawapan bertulisnya kepada ahli Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan bahawa akan ada rundingan untuk pengaturan baharu.

Susulan itu, selepas semakan pada Jun tahun lalu, pengaturan 2022 telah dibatalkan dan memihak kepada perjanjian baharu yang diwartakan pada 22 Nov 2023.

Kerajaan persekutuan akan membayar Sabah RM125.6 juta pada 2022, RM300 juta pada 2023, RM306 juta pada 2024, RM312 juta pada 2025, RM318 juta pada 2026, dan RM325 juta pada 2027.

Ia adalah RM1.687 bilion dalam tempoh enam tahun.

Pembayaran itu dibuat sebagai pengganti kepada geran yang ditetapkan di bawah Perkara 112C(1)(a), tetapi Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya 2022 berjanji untuk mengembalikannya kepada "formula asal".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS