Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Kerajaan akan mendedahkan kepada umum penemuan daripada pasukan petugas khas yang ditubuhkan susulan kematian pakar patologi, Dr Tay Tien Yaa di Hospital Lahad Datu pada 29 Ogos lalu.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan petugas itu diberi tempoh tiga bulan mulai 10 Okt untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan buli di tempat kerja, yang dipercayai menyebabkan Tay membunuh diri.

"Ringkasnya ketika dapatan dibentangkan, kita akan mengambil sikap bahawa tidak akan kita sembunyikan atau ‘keep secret’.

"Kita akan dedahkan atas prinsip kebertanggungjawaban, juga atas prinsip ketelusan. Perkara ini dilakukan demikian supaya semua pihak boleh mengambil iktibar penuh, sama ada pelaku, policy makers, pelaksana.

"Kita mesti tahu perkara itu secara granular, secara detail, supaya polisi seterusnya adalah berdasarkan maklumat yang tepat,” katanya menjawab soalan tambahan Howard Lee (PH-Ipoh Timur).

Terdahulu, Lee berkata kes buli membabitkan Tay bukan kali pertama berlaku dan perlu diakhiri.

"Kes buli takbermula dengan Dr Teh tapi patut berakhir dengan Dr Teh. Kemukakan hasil (dapatan) kepada orang ramai. Apa tindakan boleh diambil jika ada pembulian?" soalnya.

Menjawab pertanyaan itu, Dzulkefly menegaskan bahawa sebelum ini tindakan pecat telah diambil terhadap pegawai hospital yang didapati melakukan buli di tempat kerja, walaupun tiada unsur jenayah lain.

Pada 2 Okt lalu, Dzulkefly mengumumkan bahawa pasukan petugas khas yang menganalisis input daripada siasatan terhadap kematian Tay, juga akan mengkaji budaya kerja di Hospital Lahad Datu.

Pasukan petugas yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Borhan Dollah itu dibantu lima anggota bebas yang mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, psikiatri, patologi, kesihatan mental dan kes buli.

Berikutan kematian Tay pada 29 Ogos, keluarganya mendakwa dia membunuh diri akibat tekanan dan menjadi mangsa buli.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan dibuat keluarga tetapi menafikan kes itu ada unsur jenayah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS