Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Ada pemimpin politik, pegawai kerajaan subahat dengan GISBH?
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 11:50 AM
Dikemaskini: 3:50 AM


Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menyuarakan rasa bingungnya bagaimana Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dapat beroperasi di seluruh dunia buat sekian lama, tanpa salah lakunya dikesan.

Justeru, ahli Parlimen DAP itu melontarkan pertanyaan kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail jika ada pemimpin politik mahupun pegawai kerajaan yang terlibat dengan kumpulan itu.

Dalam jawapan bertulis semalam, Saifuddin berkata siasatan polis setakat ini tidk menemui sebarang perkaitan tersebut.

“Tiada sebarang bukti kukuh yang boleh mengaitkan pegawai kerajaan atau pemimpin politik terlibat atau bersubahat dengan GISBH.

“Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak sebarang kemungkinan kerana siasatan PDRM masih diteruskan dari pelbagai sudut serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya lagi.

Berhubung pertanyaan Lim jika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan untuk menyiasat kes berkaitan GISBH, Saifuddin berkata KDN tidak bercadang untuk menubuhkannya.

Menurut Saifuddin, pihak berkuasa bekerjasama dengan pihak luar negara menerusi bantuan perundangan bersama (mutual legal assistance) dan Akta Bantuan Bersama Peraka Jenayah, dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara (AGC), untuk memantau kegiatan GISBH di luar negara.

GISBH dilaporkan memiliki aset bernilai RM325 juta dan perolehan tahunan sebanyak RM187 juta.

Syarikat itu antara lain memiliki pasar raya, kedai roti, farmasi, kilang dan restoran, termasuk cawangan di kota besar seperti London, Paris dan Dubai.

Ia juga memiliki tempat kediaman di Turki, sebuah hotel di Sarajevo dan hartanah seluas 48 hektar di Perth, Australia.

Sebelum ini, Suhakam, Majlis Peguam dan kumpulan G25 menggesa kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat antaranya dakwaan pelanggaran hak asas dan eksploitasi terhadap kanak-kanak yang tinggal di rumah amal kendalian GISBH.






Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS