Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amnesty: K'jaan perlu ambil serius kes dera di depoh tahanan Imigresen
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 10:52 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Amnesty International Malaysia menggesa kerajaan mengambil serius isu pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di depoh dan pusat tahanan Imigresen.

Ini selepas Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menyimpulkan bahawa 131 tahanan Rohingya yang melarikan diri dari depoh tahanan di Bidor pada Februari lalu berikutan insiden keganasan melampau dan penderaan fizikal serta mental dialami mereka.

EAIC juga menyatakan bahawa beberapa kes penderaan telah bermula sejak 2020 sehingga 2021 apabila pelarian Rohingya berkenaan ditahan di Kem Wawasan Langkawi.

"Amnesty International Malaysia terkejut dengan penemuan EAIC, yang mendedahkan corak penderaan dan penggunaan kekerasan yang melampau terhadap tahanan di Depoh Imigresen Sementara Bidor," kata pegawai penyelidik dan advokasi Amnesty, Nicole Fong.

“Corak penderaan, pengabaian, dan keadaan tidak berperikemanusiaan yang berulang ini menekankan keperluan mendesak bagi kerajaan untuk berhenti menutup mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang serius di pusat tahanan imigresen,” tambahnya.

"Selaku pengerusi Asean seterusnya, Malaysia perlu segera menyediakan perlindungan kepada pelarian dan migran selaras dengan standard hak asasi antarabangsa, menghentikan amalan kejam penahanan imigresen tanpa had masa, dan memastikan semua pihak yang bertanggungjawab atas penderaan ini dibawa ke muka pengadilan.

Fong turut menggesa kerajaan membenarkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaksanakan tugas mereka dan diberikan akses kepada tahanan di depoh imigresen.

EAIC menyatakan bahawa mereka telah membuat laporan polis berhubung penderaan dalam kes tahanan Rohingya tersebut dan telah mengemukakan cadangan kepada Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai terlibat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS