Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM masih membisu berhubung dakwaan Shamsul - Puad
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 10:27 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

Perdana Menteri masih membisu berhubung kenyataan setiausaha politik kanannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin yang mendakwa diarahkan agar tidak mencabar kiraan semula undi ketika tewas kepada Ahmad Zahid Hamidi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Puad Zarkashi berkata, tindakan Anwar Ibrahim berdiam diri seolah-olah merestui pimpinan parti dalam kerajaan mengkritik sesama sendiri.

"Shamsul adalah ketua setpol PM. Anwar masih membisu terhadap dakwaan Shamsul itu.

“PMX macam merestui parti parti dalam kerajaan Madani mengkritik sesama sendiri," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sebaliknya kata Puad, imej Anwar kini tercalar kerana kenyataan dibuat Shamsul.

"Maka apa motif dia (shamsul) bawa cerita karut itu sekarang?

"Lebih baik dia buat laporan polis. Umno tidak rugi apa-apa. Bagan Datuk tetap milik Umno. Imej PMX yang calar," katanya.

Dalam satu rancangan audio siar baru-baru ini, Shamsul mendedahkan yang dia tidak mencabar keputusan di Bagan Datuk kerana "gambaran yang lebih besar" terhadap masa depan politik negara

Bekas naib presiden PKR itu juga mendakwa mendapat jaminan bahawa kerajaan perpaduan akan dibentuk selepas itu.

Bagaimanapun pendedahan bekas ahli parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka itu mendapat kritikan termasuk daripada pimpinan Umno dan anak perempuan Zahid.

Puad berkata, meskipun kiraan semula undi dibuat, tiada jaminan bahawa Shamsul akan memenangi kerusi parlimen Bagan Datuk.

"Persoalannya, kalau pun dibuat kiraan semula apa jaminan Shamsul akan menang?

“Ada tempat, majoriti lebih kecil dari itu. Tetapi ia tidak mengubah keputusan walaupun kiraan semula dibuat.

"Salah Shamsul. Dia sepatutnya utamakan “morality first bukan jawatan PMX first,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS