Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PANDUANKINI | Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan akan menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula minggu ini apabila bacaan kedua dan ketiga RUU tersebut akan dibentangkan di tengah-tengah bantahan dan kritikan yang semakin meluas.

Pada awalnya polemik mengenai hasrat kerajaan untuk memperkenalkan RUU Mufti Wilayah Persekutuan itu tertumpu kepada kelayakan menjadi mufti iaitu dengan mewajibkan individu terbabit berakidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (Sunni).

Ia tertumpu pada Seksyen 3(4) iaitu merujuk kepada pegangan bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah dalam akidah, bermazhab Syafie (mengikuti mazhab Sunni lain dalam keadaan tertentu) dalam fiqah serta pegangan dibawa oleh Imam al-Ghazali dan Imam Junaid dalam tasauf.

Bantahan terhadap pengkhususan istilah Sunni yang hanya merujuk kepada Asyairah dan Maturidiyah sebelum ini dimulakan oleh Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin.

Mohd Asri Zainul Abidin.

Berdasarkan ketetapan itu, ia menjadikan seseorang yang berpegang kepada sumber aliran lain, misalnya Salafi, tidak berkelayakan untuk menjawat jawatan mufti Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun polemik berhubung RUU ini kemudiannya terus berkembang mencakupi aspek-aspek lain. PanduanKini kali ini, cuba membawa pembaca untuk merangkumi persoalan yang timbul sekitar polemik berkenaan.

Apakah RUU Mufti Wilayah Persekutuan?

Pada 2 Julai lalu, RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

RUU itu dipinda bagi menambah peruntukan mengenai mufti, penentuan mengenai hukum (fatwa) dan doktrin syarak serta perkara berkaitan.

Mohd Na’im menjelaskan RUU tersebut akan memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan hukum-hakam agama serta tatacara mengeluarkan fatwa atau pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah, selain penentuan arah kiblat.

Ia juga turut memperincikan badan jawatankuasa seperti Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Rukyah Hilal, dan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.

Selepas bacaan pertama, ia ditangguhkan selepas tidak diperkenan oleh Raja Perlis Tuanku Syed Puta Jamalullail, namun dalam perkembangan terkini kerajaan memaklumkan bacaan kedua dan ketiga akan diteruskan tanpa membabitkan sebarang perubahan.

Apakah bantahan terhadap RUU Mufti Wilayah Persekutuan?

Selain bantahan awal berkaitan syarat pelantikan mufti, beberapa aspek lain turut menjadi pertikaian dengan pengkritik mengkritik kelemahan dan kekurangan RUU tersebut sekali gus terus mengheret polemik baru yang semakin meluas.

Ia bukan sahaja menarik perhatian golongan agamawan, sebaliknya turut mengundang bantahan pelbagai pihak sama ada individu atau pertubuhan bukan kerajan (NGO).

Zaid Ibrahim

Antaranya bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim yang tampil membantah RUU tersebut dengan dakwaan ia adalah contoh jelas pentadbiran autoritarian di bawah kerajaan Madani.

Zaid memberi amaran bahawa sebaik sahaja RUU itu diluluskan, ia akan membolehkan mufti menggunakan pengaruh besar di peringkat persekutuan.

Menurutnya, jika Mufti Wilayah mengeluarkan fatwa mengharamkan tembakau atau mengarahkan umat Islam hanya makan di restoran yang mempunyai sijil halal, fatwa-fatwa tersebut akan mengikat secara undang-undang di Wilayah Persekutuan.

Peguam hak asasi Latheefa Koya pula mendakwa RUU Mufti Wilayah Persekutuan akan mengurangkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan.

Katanya, Fasal 4(1) RUU tersebut akan menjadikan mufti sebagai pihak “paling berkuasa” dalam hal-hal undang-undang Islam di Wilayah Persekutuan, selain Seri Paduka.

Dakwanya lagi, mengikut undang-undang baru ini, mufti melalui pengeluaran fatwa yang mengikat, boleh mengganggu kehidupan seharian umat Islam dan hak mereka untuk mengamalkan agama mengikut al-Quran dan hadis.

Dia juga menyifatkan RUU itu akan mewujudkan mekanisme kawalan yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila setiap fatwa secara automatik mengikat semua umat Islam, tanpa pengecualian atau kelonggaran.

Sedangkan, katanya, Seksyen 34(3) dalam Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 menyebut terdapat pengecualian bagi amalan, kepercayaan atau pendapat peribadi.

Selain itu badan bukan kerajaan Sisters In Islam (SIS) pula berpendapat meluluskan RUU Mufti Wilayah Persekutuan akan memberi kuasa tanpa kawalan kepada pihak berkuasa agama kerana mereka akan kebal terhadap tindakan undang-undang.

Pertubuhan hak wanita itu berkata, ini akan menyebabkan pihak berkuasa agama terlindung daripada akauntabiliti dan mengaburkan garis antara fatwa yang diwartakan dan yang tidak diwartakan kerana Seksyen 11 menjadikan semua keputusan sedemikian mengikat secara sah.

Adakah RUU ini memberi kesan kepada bukan Muslim di Malaysia?

Tidak. RUU ini hanya mensasarkan masyarakat Muslim di Wilayah Persekutuan, dan fatwa yang dikeluarkan tidak terpakai kepada bukan Muslim.

Bagaimana dengan reaksi pihak yang menyokong?

Di sebalik bantahan dikemukakan, tidak kurang juga sokongan diberikan terhadap perancangan kerajaan memperkenalkan RUU Mufti Wilayah Persekutuan.

Mohd Na'im dalam kenyataan semalam menjelaskan RUU ini tidak digubal secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses penggubalan yang teliti dan panjang, malah menurutnya pada 2021, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan menggubal satu akta khusus untuk mufti.

Katanya, jawatankuasa itu dianggotai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.

Dia turut menegaskan betapa penggubalan RUU Mufti ini adalah usaha yang diambil oleh kerajaan bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan institusi mufti di Wilayah-wilayah Persekutuan.

Sebelum ini sembilan mufti negeri menyatakan sokongan iaitu Wilayah Persekutuan sendiri, Perak, Selangor, Sabah, Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Melaka.

Syahredzan Johan

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, juga tampil menolak kenyataan Zaid Ibrahim kerana didakwa salah mentafsirkan RUU Mufti Wilayah Persekutuan.

Wakil rakyat DAP itu berkata dakwaan Zaid bahawa RUU tersebut akan menyebabkan fatwa yang dikeluarkan terpakai di seluruh negara adalah tidak tepat dan menjelaskan bahawa peruntukan serupa sudah ada di peringkat negeri.

Syahredzan menjelaskan bahawa Zaid mungkin tidak mengetahui mengenai Akta 559, yang berkaitan kesalahan terhadap perintah mufti yang dikeluarkan melalui fatwa di Wilayah Persekutuan.

Selain itu katanya, pengeluaran fatwa melibatkan Jawatankuasa Fatwa dan Yang di-Pertuan Agong dalam RUU tersebut bagi memastikan terdapat mekanisme semak dan imbang.

Adakah RUU Mufti Wilayah Persekutuan akan menjadikan Malaysia sebuah negara Islam?

Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, RUU ini tidak akan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam seperti mana dakwaan 14 kumpulan yang berpangkalan di Sarawak dan Sabah, sebelum ini.

Malah jelasnya, RUU tersebut mempunyai persamaan dengan Enakmen Fatwa Negeri Sabah yang diluluskan sejak 20 tahun lalu.

Fahmi Fadzil

Dia turut memberikan contoh betapa kehidupan masyarakat di Sabah dan Sarawak tidak berubah untuk mengamalkan sebarang adat dan pesta keraian tradisional mengikut suku kaum masing-masing.

Bagaimanapun terdapat kebimbangan dilontar beberapa parti politik antaranya oleh MCA dan Urimai yang antara lain membangkitkan isu fatwa yang tidak perlu diwarta.

Mereka juga menyifatkan RUU itu menjurus kepada menjadi negara Islam, dan menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS