Seorang wanita Malaysia ditahan ketika cuba menyeludup hidupan liar dari Kuala Lumpur ke Chennai, India, apabila pihak berkuasa menemui empat siamang dan 52 iguana di dalam bagasinya.
Jabatan Kastam Chennai dalam satu kenyataan berkata wanita tersebut ditahan oleh Pegawai Perisikan Udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Anna di Chennai pada 13 Oktober lalu.
Wanita itu dan pihak yang dipercayai merupakan penerima hidupan liar tersebut kini ditahan reman, kata Pesuruhjaya Kastam Utama Chennai, Manayathara Mathew Jolly.
“Spesis eksotik tersebut telah diberi makanan dan air mengikut nasihat pihak Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCCB) dan telah dihantar pulang ke negara asal mereka. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Kerap diseludup dari KL
Ini merupakan kes ketiga penyeludupan dari Kuala Lumpur ke Chennai yang berjaya digagalkan oleh pihak berkuasa di sana dalam tempoh sebulan yang lalu.
Pada 8 Oktober, Jabatan Kastam Chennai merampas 3,220 rokok elektronik, dua iPhone 16, dan dua rantai emas seberat 700 gram – kesemuanya bernilai INR10.2 juta (RM520,000).
Barangan tersebut dibawa oleh empat individu yang tiba dari Kuala Lumpur.
Pada 27 September, jabatan itu menahan hampir 5,000 ekor kura-kura yang dibawa oleh penumpang dari Kuala Lumpur.
Menurut jabatan tersebut, terdapat 4,967 ekor kura-kura gelangsar telinga merah dan 19 ekor kura-kura gelangsar telinga merah albino.
Sebulan sebelum itu, pihak kastam merampas 778 ekor kura-kura bintang India dari bagasi seorang penumpang yang berlepas dari Chennai ke Kuala Lumpur.
Kumpulan Ninja Turtle kembali aktif?
Penahanan terkini oleh pihak berkuasa Chennai iyu menimbulkan persoalan sama ada “Kumpulan Ninja Turtle,” sindiket penyeludupan kura-kura dan penyu yang dikatakan telah digagalkan oleh pihak berkuasa Malaysia, kembali aktif.
Pada Julai lalu, pihak berkuasa Malaysia menahan enam ahli kumpulan jenayah antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia dan merampas 361 ekor kura-kura dan penyu seludup dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Kuala Lumpur.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menyatakan kura-kura yang dilindungi tersebut bertujuan untuk dijual di pasaran gelap dengan anggaran nilai RM3 juta.
Menurut jabatan itu, kumpulan tersebut menyeludup hidupan liar dari India, Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka.
Kura-kura dan penyu tersebut boleh dijual antara RM2,000 hingga RM13,000 setiap ekor bergantung pada corak dan saiznya.