Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata panel kerajaan yang ditugaskan untuk mempertimbang perlucutan status kewarganegaraan tidak akan sehingga menyebabkan mana-mana individu itu tiada kerakyatan.

Bercakap dengan pemberita di pemberita di Parlimen hari ini, Saifuddin membangkitkan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan yang turut melindungi individu dari luar negara yang diberikan kerakyatan Malaysia, namun kemudian berdepan risiko kehilangan status itu.

Dia secara khusus menyebut kaveat di bawah Perkara 26B(2) yang menyatakan tiada individu yang boleh dilucutkan kewarganegaraan berdasarkan Perkara 25, perenggan (b) Klausa (1) Perkara 26, atau Perkara 26A, jika kerajaan persekutuan berpuas hati yang jika kewarganegaraannya dilucutkan, dia tidak mempunyai status kewarganegaraan di mana-mana negara.

Merujuk kes wanita warga asing yang berkahwin dengan lelaki tempatan, dia berkata: “Jika perlucutan (kewarganegaraan) itu membawa kepada isteri (warga asing) itu tidak mempunyai apa-apa kewarganegaraan, maka perlucutan itu tidak boleh dilakukan”.

Dia berkata demikian ketika menjawab kebimbangan yang dibangkitkan berhubung cadangan pindaan ke atas Perkara 26(2) Perlembagaan Persekutuan, berhubung Perkara 15(1) tentang kewarganegaraan untuk wanita luar yang berkahwin dengan lelaki tempatan.

Perkara 26(2) menyatakan kerajaan boleh menolak permohonan kewarganegaraan oleh wanita warga asing jika didapati perkahwinannya itu  dibubarkan - melainkan jika disebabkan kematian - dalam tempoh dua tahun “mulai dari tarikh perkahwinan”.

Bahagian itu dicadang untuk dipinda kepada “dari tarikh mendapat warganegara”.

“Perkara ini tentang perlucutan kewarganegaraan. Kenapa kita pinda ayat ini? Sebab tidak akan berlaku sama sekali yang seorang wanita warga asing berkahwin dengan lelaki warga tempatan mendapat (status) warganegara dalam tempoh dua tahun selepas perkahwinan,” katanya lagi.

Saifuddin menjelaskan berdasarkan proses semasa, wanita warga asing yang berkahwin dengan lelaki tempatan perlu tinggal di Malaysia sekurang-kurangnya lapan tahun sebelum mereka layak untuk memohon status kewarganegaraan.

“Selepas lima tahun dia daftar perkahwinan di sini, dia akan dapat visa pasangan. Pada tahun keenam baru dia dapat permit masuk dan kena pegang permit itu selama dua tahun. Jadi (keseluruhannya) tujuh tahun (di Malaysia).

“Pada tahun kelapan baru dia boleh mohon warganegara atau kad pengenalan biru…Jadi kita pinda kepada ‘dua tahun selepas mendapat kewarganegaraan’,” katanya lagi.

Bagi kes perlucutan kewarganegaraan, Saifuddin berkata ia akan melalui proses semakan termasuk perlindungan daripada risiko ketiadaan status kerakyatan di mana-mana negara.

Katanya lagi, satu kaveat baru juga akan diperkenalkan dengan syarat tambahan bagi individu yang memohon untuk melucutkan status kewarganegaraan secara sukarela.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS