Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perlu persetujuan ketua negeri Sabah, Sarawak untuk pinda undang-undang kerakyatan'

Presiden Warisan Shafie Apdal hari ini mempersoalkan sama ada kerajaan persekutuan telah mendapat persetujuan daripada ketua-ketua negeri Sabah dan Sarawak bagi cadangan rang undang-undang pindaan perlembagaan mengenai hak kewarganegaraan.

Ahli Parlimen Semporna itu dalam perbahasannya di Dewan Rakyat hari ini berkata persetujuan ini diperlukan di bawah Perkara 161E(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada pindaan boleh dibuat kepada perlembagaan tanpa persetujuan Yang di-Pertua Sabah atau Sarawak atau setiap negeri Sabah dan Sarawak. Itu dalam perlembagaan.

“Perlembagaan adalah (undang-undang) tertinggi. Di Malaysia, perlembagaanlah yang paling tinggi – bukan Kabinet, mahupun eksekutif.

“Jadi saya ingin bertanya kepada menteri (dalam negeri) mengenai persetujuan yang dirujuk dalam Perkara 161E(2). Saya tidak mahu undang-undang kita dibahaskan hari ini untuk memintas keperluan itu,” kata Shafie yang juga Adun Senallang dan ketua pembangkang negeri Sabah.

Shafie menegaskan bahawa kritikannya bukan bersifat politik tetapi bertujuan untuk menambah baik prosedur yang terlibat dalam penggubalan undang-undang di Parlimen.

Dia juga mengulangi situasi unik di Sabah berhubung isu kewarganegaraan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar negeri dan individu tanpa kerakyatan termasuk pelbagai kumpulan perantau laut.

“Jadi secara pentadbiran saya menggesa menteri, saya minta jaminan terhadap isu yang saya bangkitkan,” kata bekas ketua menteri Sabah itu.

Pada Isnin, seorang anggota Muda Sabah telah menggesa ahli parlimen dari negeri itu supaya mengambil pendirian dan tidak menjadi seperti "lembu dicucuk hidung".

Wong Kueng Hui, bekas individu tanpa kerakyatan, secara khusus memetik cadangan pindaan untuk mewajibkan kanak-kanak yang dilahirkan di Malaysia kepada ibu bapa bukan warganegara Malaysia yang merupakan pemastautin tetap memohon kewarganegaraan dan bukannya memberi mereka kewarganegaraan automatik.

Bercakap pada sidang media di Parlimen, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata semua prosedur yang perlu telah dipatuhi sebelum rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada Mac, termasuk untuk mendapatkan persetujuan daripada ketua negeri dan Majlis Raja-raja.

Dia juga menegaskan bahawa taraf kewarganegaraan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan terjejas oleh pindaan yang dicadangkan itu.

Seramai 59 ahli parlimen disenaraikan untuk membahaskan rang undang-undang pindaan perlembagaan yang akan diundi pada 17 Okt ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS