Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perlis, Terengganu dijangka dilanda air pasang besar
Diterbitkan:  Oct 16, 2024 5:51 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Sebanyak 41 kampung di Terengganu berisiko dilanda banjir berikutan fenomena air pasang tinggi, yang dijangka berlaku malam esok hingga 25 Okt.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Hanafiah Mat berkata berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran Terengganu, sembilan daripada kampung tersebut terletak di muara Sungai Terengganu dan Sungai Ibai.

“Lokasi tersebut ialah Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Pulau Rusa, Kampung Tanjung Gelam, Kampung Kubang Ikan, Kampung Ulu Takir, Kampung Seberang Takir, Kampung Kuala Ibai, Kampung Pak Tuyu dan Taman Purnama.

“Di daerah Dungun pula kampung terlibat ialah Kuala Paka, Durian Mentangau, Kampung Pinang Merah, Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Sura, Kampung Sungai Udang, Kampung Sungai Buaya, Kampung Alor Makbah, Kampung Che Lijah, Kampung Tanjung Jara, Kampung Bijangga dan Kampung Sura,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanafiah berkata di daerah Marang pula terdapat lima buah kampung berisiko yang terletak di muara Sungai Marang dan Sungai Mercang.

Ia termasuk Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Mercang dan Kampung Pulau Rusa Baru.

Selain itu beliau berkata enam buah kampung di Setiu yang berisiko ialah Kampung Telaga Papan, Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu dan Kampung Fikri.

“Di daerah Kemaman empat kampung berisiko ialah Pengkalan Cicar Bukit Kuang, Kampung Bakau Tinggi, Kampung Baru Kemasek dan Pulau Skepeng Kuala Kemaman.

“Manakala daerah Besut melibatkan Kampung Teluk Budu, Kampung Pengkalan Atap, Kampung Pantai dan Kampung Nail,” katanya.

Sehubungan itu semua penduduk dinasihatkan supaya berwaspada dan sedia berpindah sekiranya perlu.

Sementara itu, Perlis juga bersiap siaga dengan kemungkinan banjir gelombang ketiga di negeri itu pada Jumaat hingga Ahad (18-20 Okt) ini berikutan dijangka berlaku fenomena air pasang besar hingga mencecah ketinggian 3.7 meter.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata 90 anggota APM Perlis diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan kejadian itu termasuk kesediaan aset seperti lori, kenderaan pelbagai guna dan ambulans.

Beliau berkata Jumaat hingga Ahad dijangka kemuncak kepada kejadian fenomena air pasang besar itu yang berisiko menyumbang kepada berlakunya banjir.

“Kita beri tumpuan pada hari kemuncak tesebut. Bacaan paras air laut dijangka paling tinggi mencecah 3.7 meter pada 19 Okt ini (Sabtu) iaitu lebih kurang 1.15 pagi.

“Pada Jumaat dan Ahad pula dijangka paras air mencecah hingga 3.6 meter masing-masing pada 12.42 tengah malam dan 1.49 pagi,” katanya.

Mohd Izaimi berkata penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) berkapasiti besar turut diberikan perhatian antaranya di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Dewan Kolej Vokasional Kangar dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau.

“Semua tempat ini dalam perhatian jika diperlukan pembukaan PPS berkapasiti besar,” katanya.

Mohd Izaimi berkata terdapat risiko banjir jika air pasang besar itu berlaku serentak dengan hujan lebat dan antara kawasan yang mungkin terjejas ialah Kampung Bakau, Kampung Tok Kandang, Kampung Kota Keran dan Kampung Repoh bagi daerah Kangar.

“Sehubungan itu, penduduk kawasan berkenaan perlu peka dengan jangkaan air pasang besar ini dan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir demi menjaga keselamatan diri serta harta benda masing-masing,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS