Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peniaga kecewa premis disita walau sewa tertunggak baru sebulan

Hampir 50 peniaga di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, melahirkan rasa kecewa dan tertekan ekoran tindakan yang didakwa drastik dan tanpa kompromi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana isu tunggakan sewa.

Mereka mendakwa tindakan sita gara-gara sewa selama sebulan tertunggak itu sebagai tidak wajar. Tidak sekadar itu, mereka juga dikehendaki melunaskan bayaran berkenaan pada kadar segera.

Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Besar Jalan Othman, N Rajaratnam, berkata apa yang berlaku kini memberi tekanan kepada peniaga kerana mereka perlu membuat permohonan baru sedangkan sudah berniaga di situ sejak sekian lama.

Dakwanya, sistem bayaran disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak membenarkan penyewa membayar tunggakan saja, sebaliknya perlu disekalikan dengan sewaan terkini.

"Sedangkan bil sewaan terkini belum keluar atau belum sampai masa peniaga perlu bayar. Jadi kami nak bayar tunggakan tak boleh, kena bayar double (berganda).

"Keadaan ini memberi kesukaran kepada peniaga.

"Apabila kami terlewat bayar sehari atau dua hari dari tempoh yang ditetapkan, sistem atas talian disediakan oleh MBPJ terhalang secara automatik.

"Misalnya ada tunggakan September, apabila masuk tarikh akhir 18 Okt belum buat bayaran, kami perlu bayar sekali dengan sewaan Okt.

"Padahal tempoh untuk bulan semasa (Okt) masih panjang, bil sewaan pun belum keluar. Kadar sewa RM350 sebulan, jadi kena bayar RM700," dakwanya pada sidang media yang diadakan di pasar berkenaan, hari ini.

Afif Bahardin (tengah)

Sidang media itu diselaraskan Adun Taman Medan, Afif Bahardin, yang tampil menyuarakan permasalahan dihadapi peniaga terbabit.

Rajaratnam turut mendakwa MBPJ memberi tempoh yang singkat untuk menyelesaikan bayaran tertunggak. Apabila ada penyewa yang tidak mampu melunaskannya, PBT terbabit terus membuat sitaan.

Dakwanya, selepas notis sita dikeluarkan mereka hanya diberi masa selama tiga hari untuk mengosongkan premis.

"Apabila disita peniaga perlu buat permohonan baru melalui sistem disediakan, kami perlu menyediakan wang deposit dua bulan, dan belum tentu permohonan akan diterima," katanya.

Perlu beri pertimbangan

Sementara itu Afif berkata kapasiti peniaga di pasar tersebut sepatutnya mencecah 500 orang namun kini hanya tinggal sekitar 200 peniaga yang masih bertahan.

Pun begitu, katanya, tiada usaha diambil oleh MBPJ untuk menarik lebih ramai peniaga dan pelanggan.

Kata Afif, pihaknya pernah mengemukan cadangan kepada MBPJ supaya lot-lot premis kosong diisi dan menawarkan sewaan percuma untuk permulaan bagi membantu peniaga baru.

"Pada awalnya saya dan beberapa pihak lain cadangkan supaya MBPJ buat inisiatif supaya lebih ramai peniaga baru masuk ke premis tanpa dikenakan bayaran sewa untuk tempoh tertentu. Tapi itu tak dibuat, sedangkan banyak premis kosong.

"Cadangan itu dah setahun, bermakna MBPJ tak pungut hasil dalam tempoh setahun. Apa bezanya kalau bagi percuma dulu, bagi peniaga ramai dulu.

"Sekarang pula peniaga yang dah berniaga di sini dalam keadaan tertekan, diberi pula notis sitaan walhal mereka dah letak cagaran (deposit) dua bulan.

"Kalau sebulan lambat sikit bayar saya percaya perlulah ada pertimbangan dalam keadaan sekarang mereka yang menghidupkan pasar ini," katanya.

Tambah Adun dari Bersatu itu, peniaga sepatutnya diberi galakan untuk terus berniaga bagi menjana pendapatan dan tempat rakyat mencari keperluan harian.

"Saya percaya MBPJ, datuk bandar, ahli majlis, dan exco kerajaan negeri perlu berikan sedikit pertimbangan kepada peniaga-peniaga yang ada di sini.

"Ini sebuah pasar dalam kawasan bandar raya, tapi tak bermakna ia boleh dikenakan kadar sewa yang tinggi,” katanya.

Malaysiakini sedang dapatkan respon lanjut daripada pihak MBPJ berhubung dakwaan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS