Paling Popular
Terkini

Pemuda Bersatu hari ini mendakwa PN mempunyai jalan penyelesaian "terbaik" bagi mengetasi isu penjualan sebahagian saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendakwa melalui analisis yang dibuat PN, gagasan parti itu mampu membantu meningkatkan pelaburan MAHB dan pendapatan negara melalui lapangan-lapangan terbang sedia ada.

“Saya dan rakan-rakan ahli parlimen bersedia untuk bagi hujah balas dalam Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) atau pun dalam Jawatankuasa Khas Parlimen berkenaan hal ini.

“Kami dah buat analisis teknikal tentang penjualan saham ini, kita boleh beri counter proposal (cadangan balas), counter argument (hujah balas) kepada apa yang kerajaan Malaysia sedang buat, apa yang Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) sedang tawarkan, apa yang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang izinkan," katanya pada sidang media di bangunan parlimen hari ini.

Dia yang kini masiih digantung daripada menghadiri sidang parlimen mnendakwa langkah yang diambil kerajaan berhubung saham MAHB adalah merugikan rakyat negara ini.

Bagaimanapun, kata Wan Ahmad Fayhsal, isu yang dihadapi PN sekarang ialah sama ada kerajaan berminat untuk mendengar 'formula' yang ada pada pembangkang terbabit atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Machang itu berkata, dengan apa yang berlaku pada dirinya selepas digantung, ia menjadi "bukti jelas"pihak kerajaan tidak berminat untuk mendengar buah fikiran pembangkang.

“Kalau saya diberikan ruang untuk berbahas dalam parlimen semasa belanjawan nanti, saya akan bentangkan... tapi saya disenyapkan, kerana apa?

"Kerana saya tahu perkara ini, sebab itu tidak dibenarkan bercakap dalam Dewan Rakyat dan saya serahkan segala butiran kepada rakan dalam kalangan ahli parlimen lain untuk mereka berbahas minggu depan,” katanya.

Enggan ke platform Rafizi

Pada masa sama Wan Ahmad Fayshal berkata dia yakin ahli parlimen pembangkang yang lain juga mampu menjelaskan kepada rakyat Malaysia mengenai isu MAHB.

Dia juga meminta agar PAC menyegerakan pertemuan bagi membicangkan isu penjualan saham syarikat berkenaan sebelum ia dimuktamadkan hujung tahun inI.

"Sebab rakyat Malaysia, pencarum-pencarum wajib tahu butiran sebenar berkenaan urus niaga songsang ini,” dakwanya.

Sementara itu mengulas tawaran berdebat dengan Rafizi Ramli, Wan Ahmad Fayshal berkata dia sedia "bergomol" dengan menteri berkenaan, namun dengan syarat ia dibuat di platform bebas.

Wan Ahmad Fayhsal yang mengintai salah satu tempat dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu semasa pemilihan parti itu tidak lama lagi berkata, dia sedia berdebat dalam apa saja isu.

“Biar saya bergomol dengan Rafizi dalam hal ini, saya tak takut untuk berdepan dengan beliau. Sediakan platform neutral dan mari berdebat. Tak ada masalah.

"Tapi saya tak nak pergi ke podcast (audio siar) beliau.

Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dilaporkan berkata dia mahu berdebat dengan Rafizi seperti yang dilakukan menteri terbabit dengan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman sebelum ini.

Bagaimanapun, Rafizi membidas cabaran tersebut kerana menyiarkan debat secara langsung di stesen TV melibatkan kos yang sangat tinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS