Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindak Malaysia mahu Shamsul beri penjelasan
Diterbitkan:  Oct 16, 2024 12:24 PM
Dikemaskini: 4:24 AM

Badan pemantau reformasi pilihan raya, Tindak Malaysia, meminta Shamsul Iskandar Md menjelaskan dakwaan bahawa dia diarahkan untuk tidak mencabar kiraan undi yang menyaksikan dia kecundang kepada Ahmad Zahid Hamidi pada 2022.

Sebagai sebuah organisasi yang komited untuk melaksanakan reformasi pilihan raya, kata NGO itu, mereka amat bimbang dengan dakwaan dibuat pegawai kanan Anwar Ibrahim itu.

Kata Tindak Malaysia, kesan daripada insiden di Bagan Datuk, Perak itu berpotensi untuk menjejaskan kepercayaan masyarakat kepada proses pilihan raya di negara ini.

Pengarah Tindak Malaysia, Danesh Prakash Chacko, berkata hak untuk meminta supaya dibuat kiraan semula undi adalah mengikut budi bicara calon dan tanpa mengira sebarang pertimbangan daripada parti politik.

“Sebagai salah seorang calon untuk kerusi parlimen Bagan Datuk, adalah tidak boleh diterima Shamsul Iskandar mengabaikan kepercayaan pengundi begitu saja dengan mengabaikan haknya sebagai calon tanpa mengambil kira pertimbangan politik yang dihadapi," katanya.

Dalam satu rancangan audio siar baru-baru ini, Shamsul Iskandar mendedahkan yang dia tidak mencabar keputusan di Bagan Datuk kerana "gambaran yang lebih besar" terhadap masa depan politik negara.

Hal itu berlaku meskipun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hanya menang dengan majoriti 348 undi.

Kata Danesh pendedahan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri itu membangkitkan kebimbangan serius mengenai integriti pilihan raya, khususunya membabitkan kerusi Bagan Datuk.

Kegagalan menanganinya dengan betul, kata Tindak Malaysia, boleh menyumbang kepada penghakisan kepercayaan terhadap pilihan raya.

Menurutt Danesh lagi undang-undang pilihan raya melindungi hak calon termasuk untuk kiraan semula undi mengikut syarat tertentu.

Katanya ia dinyatakan secara khusus melalui Peraturan 25 (13) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang membenarkan calon atau ejennya membuat pengiraan semula jika perbezaan jumlah undi ialah empat peratus atau kurang daripada itu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS