Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr Mahathir masuk IJN, prosiding kes saman ke atas Zahid ditangguh
1

Perbicaraan kes saman Dr Mahathir Mohamad terhadap Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataan berbaur fitnah yang sepatutnya bersambung hari ini, ditangguhkan berikutan bekas perdana menteri yang berusia 99 tahun itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Susulan itu, prosiding saman fitnah pemimpin berusia 99 tahun itu terhadap timbalan perdana menteri tersebut ditangguhkan sehingga 29 Oktober.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Mahathir selaku plaintif ketika ditemui selepas prosiding kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur hari ini.

Sehubungan itu, Gan menetapkan perbicaraan disambung pada 29 dan 30 Oktober serta 5, 6 dan 9 Disember ini.

Mahathir dimasukkan ke IJN pagi semalam kerana mengalami jangkitan saluran pernafasan bawah (LRTI). Dia diberi cuti sakit selama 12 hari bermula Isnin minggu ini sehingga 25 Oktober.

Pasukan peguam Mahathir kemudiannya menulis kepada mahkamah sivil awal hari ini untuk memohon penangguhan prosiding.

Mahathir sebelum ini telah beberapa kali dimasukkan ke IJN, dengan dua tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada awal tahun ini telah ditangguhkan akibatnya.

Saman bekas perdana menteri itu adalah berhubung dakwaan kewujudan kad pengenalan yang tertera nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty”.

Dalam pernyataan pembelaannya, Zahid menafikan bahawa kenyataannya pada 2017 itu berniat jahat, memfitnah, atau menjejaskan reputasi awam Mahathir.

Zahid, 71, mendakwa nama dalam IC itu merujuk kepada individu berdasarkan salinan lama dokumen pengenalan diri.

Katanya, dia tidak mempunyai kawalan ke atas video berikutnya yang diterbitkan di platform media yang merujuk kepada kenyataannya.

Tindakan sivil Mahathir adalah atas ucapan Zahid pada mesyuarat bahagian Umno di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Dia mendakwa menteri dalam negeri ketika itu Zahid telah membongkar salinan kad pengenalan 'Kutty'.

Plaintif mendakwa kenyataan itu membayangkan dia mengeksploitasi orang Melayu untuk kepentingan politik dan peribadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS