Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beritahu Malaysiakini beri nama ‘ikan besar’ pada kita - Saifuddin

PARLIMEN l Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menggesa Malaysiakini membekalkan pihak berkuasa dengan tiga nama yang didakwa sebagai "ikan besar" di sebalik visa perubatan yang berjalan seiring dengan counter setting.

Ini susulan artikel eksklusif Malaysiakini yang diterbitkan awal pagi ini, yang menyebut bahawa “ikan besar” dalam skandal tersebut masih tidak disentuh di sebalik serbuan besar-besaran SPRM baru-baru ini.

“Saya minta Kepong bagi tahu Malaysiakini, bagi nama tu kepada kita, kita serahkan pada SPRM untuk tangkap, itu lebih mudah.

“Dapatkan nama penuh dia, OK, sebutkan bukti kegiatan dia, nanti saya serah. Saya beri jaminan saya akan serah sendiri pada SPRM,” kata Saifuddin semasa Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Dia sebelum itu menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong), yang meminta penjelasan sama ada kerajaan tahu atau tidak mengenai tiga dalang yang didakwa tersebut dan mengapa mereka tidak ditahan.

Pagi tadi laporan Malaysiakini yang memetik pelbagai sumber yang mendakwa "ikan besar" itu tidak disentuh walaupun SPRM mencekup hampir 50 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bercakap dengan syarat tidak mendedahkan namanya, seorang bekas pegawai JIM berkata individu dikenali sebagai Tok Yah atau Tok Ayah dan DK merupakan dua dalang utama.

Menurutnya, Tok Yah merupakan seorang kakitangan kerajaan yang memegang jawatan penting dalam salah sebuah agensi penguatkuasaan.

DK pula, katanya, merupakan ahli perniagaan dari Johor dan dibantu oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai “Adik” yang menetap di Conezion, Putrajaya.

Sementara itu, Saifuddin dalam jawapannya turut membidas Lim kerana cuba untuk melaga-lagakan dirinya dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing (GPS-Bintulu).

Ini selepas pemimpin DAP itu mencadangkan JIM, yang berada di bawah bidang kuasa Saifuddin, memohon maaf kepada Tiong berhubung skandal itu.

Dalam soalannya kepada Saifuddin, Lim berkata, JIM perlu memohon maaf kepada Tiong kerana dia adalah menteri pertama yang mendedahkan kegiatan sindiket itu tahun lalu.

Saifuddin menempelak Lim dan mengingatkan ahli parlimen DAP itu supaya tidak membuta kenyataan melulu.

“Dalam parlimen kita tak boleh buat sweeping statement. Kita ada tanggtungjawab dan kita juga ada pertanggungjawaban.

“Kedua, elak laga-lagakan saya dengan sahabat saya Bintulu la, kami kerja sebagai satu pasukan cukup harmoni.

“Dia tegur saya, saya tegur dia. Dia kritik saya, saya kritik dia, itu lumrah perbezaan tidak seharusnya membuat kenyataan menyeluruh di Parlimen, katanya.

Menurut Saifuddin lagi, masalah counter setting itu bukan sesuatu yang baru.

“Soal counter setting ni, Kepong, bukan berlaku ketika Bintulu tegur aje, ini penyakit lama sebenarnya.

“Yang paling penting bukan kita cakap tentang penyakit dan masalah, bagaimana kita cari penyelesaian untuk masalah itu. “Itu paling penting, semangat kita di KDN sekarang ke arah itu,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS