Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan bekerjasama dengan pihak berkepakaran untuk membangunkan pelan strategik khusus berkaitan tatakelola dan antirasuah industri perkhidmatan air.
SPAN dalam kenyataan memaklumkan pelan strategik itu akan merangkumi pendekatan yang bersesuaian untuk meneliti amalan, sistem atau tatacara terbaik agar industri perkhidmatan air di Malaysia bebas daripada amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
Menurut agensi itu lagi, pelan tersebuut antara lain memberikan fokus ke atas proses perolehan yang telus dan terbuka, serta pemantapan pengawalseliaan program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan oleh pemegang lesen.
"SPAN komited untuk memastikan tindakan tegas diambil berdasarkan akta dan bidang kuasanya ke atas mana-mana individu atau organisasi yang disyaki melakukan sebarang ketidakpatuhan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 atau sebarang ketidakpatuhan peraturan semasa yang ditetapkan.
"SPAN mengamalkan toleransi sifar terhadap amalan rasuah serta salah guna kuasa dalam industri air," menurut kenyataan itu.
- Bernama