Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR anggap pendedahan Shamsul Iskandar tak wajar

PKR berpendapat, tidak wajar untuk mana-mana pihak memberikan pandangan sendiri mengenai apa yang berlaku selepas PRU ke-15 berakhir pada 2022.

"Mandat kerajaan perpaduan merupakan titah Yang di-Pertuan Agong pada masa itu.

"Oleh itu adalah tidak wajar bagi sesiapa pun membawa naratif masing-masing," kata Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata melalui teks pesanan ringkas kepada Malaysiakini malam tadi.

Fuziah sebelum itu ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin dalam satu program audio siar (podcast) mengenai kejadian berlaku pada malam keputusan PRU bagi kerusi parlimen Bagan Datuk.

Dalam PRU yang berlangsung pada 19 Nov 2022 itu, Shamsul Iskandar dipertaruhkan oleh PH untuk mencabar Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, di Bagan Datuk.

Di sebalik kedudukan Ahmad Zahid sebagai pemimpin tertinggi nombor satu Umno dan pernah berada pada posisi kanan dalam kerajaan, dia nyaris dikalahkan.

Di antara Shamsul Iskandar dan Ahmad Zahid, mereka hanya dipisahkan oleh 348 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di situ ialah Dr Faiz Na'aman - yang mewakili PN - dan calon bebas, Tawfik Ismail, dengan masing-masing memperoleh 8,822 undi dan 226 undi.

Dalam audio siar baru-baru ini, Shamsul Iskandar mendakwa dia sengaja tidak mencabar keputusan tersebut kerana ada "gambaran yang lebih besar" dan mendapat panggilan telefon daripada Presiden PKR, Anwar Ibrahim, pada jam 2 pagi.

Bekas naib presiden PKR itu juga rmendakwa mendapat jaminan bahawa kerajaan perpaduan akan dibentuk selepas itu.

Bagaimanapun pendedahan bekas ahli parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka itu mendapat kritikan termasuk daripada kalangan ahli kerajaan.

Misalnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, yang meminta Shamsul Iskandar menghormati proses demokrasi serta mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh mencetuskan spekulasi negatif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS