Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengumumkan pembentukan pasukan petugas khas yang akan membuat siasatan menyeluruh berhubung dakwaan sindiket visa perubatan melibatkan warga asing.
Sindiket ini dikatakan berjalan seiring dengan counter setting yang menyaksikan hampir 50 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dicekup Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun tiga sumber termasuk dari JIM, memberitahu Malaysiakini bahawa “ikan besar” dalam skandal tersebut masih tidak disentuh.
"Sindiket counter setting dan visa perubatan ini bukan baru. Pada tahun 2020, ada tangkapan secara besar-besaran.
“Dan tahun lepas pihak agensi penguatkuasa menahan berpuluh-puluh warga asing dari China yang masuk ke negara kita dengan menggunakan visa perubatan di sebuah pulau peranginan di Malaysia.
"Soalannya, kenapa ia masih berlaku dan tidak dapat dibanteras? Mudah sahaja, 'ikan besar' masih bebas dan tidak boleh disentuh," dedah ejen itu yang hanya mahu dikenali sebagai Najib.
Dalam perjumpaan di sekitar kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, Najib berkata, sindiket itu tidak dapat dibanteras kerana melibatkan banyak pihak.
"JIM ini cuma barisan hadapan sahaja.
“Ada banyak agensi kerajaan yang lain di belakang sindiket tersebut seperti agensi-agensi penguat kuasa, pihak berkuasa tempatan (PBT), dan pihak berkaitan dengan pelancongan,” katanya.
Memberikan contoh, Najib berkata, jika seseorang pegawai JIM ditangkap, pihak dari agensi lain akan mencari individu baru dalam jabatan itu sebagai ganti.
"Ia semudah itu sahaja…. kerana 'ikan besar' masih bebas.
“Selagi 'ikan besar' masih bebas, sindiket-sindiket ini tidak dapat dihapuskan," kata Najib yang berasal dari Bangladesh.
Najib juga mengaku sudah lima tahun terlibat membawa masuk pekerja asing secara dan pernah sekali ditahan SPRM.
Dia kini bersedia mendedahkan kegiatan sindiket berkaitan kerana sudah mahu pulang ke negara asal disebabkan “bisnes tidak berapa bagus” lagi.
"Sekarang ada operasi (tangkapan). Jadi, kami diminta jadi submarine (tidak aktif) sebelum ada arahan baru.
"Saya akan pulang dulu buat masa ini. Mungkin kembali ke Malaysia atau tinggal di Bangladesh sahaja," katanya.
Dua dalang utama
Pertemuan Malaysiakini dengan beberapa bekas pegawai JIM dan ejen mendapati sekurang-kurangnya tiga individu dikenali sebagai 'kartel' penting dalam sindiket terbabit.
Bercakap dengan syarat tidak mendedahkan namanya, seorang bekas pegawai JIM berkata individu dikenali sebagai Tok Yah atau Tok Ayah dan DK merupakan dua dalang utama.
Menurutnya, Tok Yah merupakan seorang kakitangan kerajaan yang memegang jawatan penting dalam salah sebuah agensi penguatkuasaan.
DK pula, katanya, merupakan ahli perniagaan dari Johor.
Menurut sumber-sumber, dalam kumpulan Tok Yah dan DK masih beroperasi setelah tiga lagi kumpulan sudah “dijinakkan”.
Bekas pegawai yang pernah berkhidmat di KLIA berkata Tok Yah seolah-olah ‘godfather’ bagi kumpulan itu.
"Nama dia jarang ‘meletup’ (terdedah). Cuma orang sekitar dia dan pihak yang berpengetahuan dengan sindiket benar-benar tahu tentang 'kewujudan' dia dalam sindiket ini.
"Dia selalu pakai ‘budak-budak’ dia untuk menjalankan sindiket-sindiket berkaitan, sementara DK pula berperanan sebagai brain (perancang).
Sementara itu, dakwanya, DK dibantu oleh seorang ahli perniagaan dikenali sebagai “Adik” yang menetap di Conezion, Putrajaya.
Dia dikatakan menjadi orang tengah dengan JIM.
Tangan mereka di semua tempat
Ketika ditanya kenapa mereka sukar disentuh, bekas pegawai terbabit memberitahu: "Kerana ‘tangan’ mereka ada di semua tempat".
"Paling penting kamu kena contact di semua agensi berkaitan.
"Saya tidak pasti (betul atau tidak), tetapi kedua-dua ini kadang-kadang mengheret nama 'istana' dari sebuah negeri untuk menjalankan sindiket,” katanya.
Minggu lepas, Malaysiakini melaporkan beberapa pegawai JIM sedang disiasat EAIC selepas disyaki terbabit dalam sindiket visa perubatan membabitkan warga asing.
EAIC berkata siasatan dijalankan selaras dengan subseksyen 27(4) yang dibaca bersama dengan subseksyen 26(3) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
Agensi itu pada 1 Okt hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit JIM Putrajaya dan menyita 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori pas rawatan).
JIM pula memberi jaminan tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang terlibat dalam sindiket visa perubatan untuk membawa masuk warga asing.
'Visa perubatan dan scammer'
Sementara itu, seorang pegawai Kementerian Pelancongan dan Seni Budaya (Motac) memberitahu Malaysiakini, kebanyakan warga asing yang masuk menerusi visa perubatan adalah scammer (penipu).
“Dalam enam bulan kebanyakan masa mereka terlibat dengan pelbagai scam dengan bantuan orang tempatan.
"Lepas enam bulan mereka pulang ke negara asal,” katanya.
Dakwanya lagi, sukar untuk menjejaki mereka bagi dikenakan tindakan kerana tempoh itu terlalu pendek untuk risikan.
"Jadi, kamu fikirlah, dalam enam bulan itu mereka boleh tipu beratus rakyat Malaysia dan mungkin melibatkan berpuluh juta ringgit,” katanya yang menyifatkan sindiket itu sebagai “sumpahan” buat negara.
Motac merupakan kementerian yang bertanggungjawab mengeluarkan surat kelulusan kepada warga asing yang memohon untuk visa perubatan.
Setelah mendapat kelulusan Motac, JIM akan mengeluarkan visa perubatan.
Malaysiakini telah mengajukan soalan kepada EAIC sama ada mereka sudah mengenal pasti dalang yang disebut dalam laporan itu.
Bagaimanapun, badan berkanun bagi menyiasat aduan salah laku penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan itu, berkata ia akan disiasat oleh pasukan khas yang dibentuk.