Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan semula ahli perniagaan dikaitkan dengan ahli politik

Ahli perniagaan yang ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Khamis lepas berhubung dakwaan skandal rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) telah ditahan semula hari ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan, individu itu ditahan semula selepas perintah tahanan reman berkenaan kes pertama tamat hari ini.

“Pegawai penyiasat memutuskan untuk menahan semula ahli perniagaan itu kerana menerima maklumat dia mungkin terlibat dalam satu lagi kes rasuah.

“Kes kedua juga ada kaitan dengan MBI, tetapi membabitkan projek lain di bawahnya,” kata sumber dari dalam SPRM itu.

Suspek didakwa menerima rasuah daripada syarikat lain selepas berjaya mendapatkan kontrak berkaitan MBI.

Menurut sumber, SPRM masih menyiasat jika kes kedua mempunyai kaitan dengan ahli politik terkenal, yang dipercayai terlibat dalam skandal lain.

Ahli perniagaan itu antara empat individu yang ditahan SPRM minggu lepas kerana disyaki melakukan rasuah berkaitan konsesi perlombongan pasir di Selangor.

Tiga individu lain yang ditahan ialah seorang lelaki berusia 45 tahun yang merupakan bekas eksekutif MBI, seorang kakitangan wanita di sebuah syarikat perlombongan pasir berumur 46 tahun, dan seorang lelaki berusia 43 tahun yang bekerja sebagai pemandu.

Bekas eksekutif MBI berkenaan dibebaskan SPRM selepas ditahan 24 jam kerana mengalami masalah kesihatan.

Manakala suspek wanita dan pemandu terbabit dibebaskan selepas perintah tahanan reman mereka tamat pada Sabtu lalu.

Menurut sumber, ahli perniagaan berkenaan didakwa bertindak sebagai orang tengah untuk mengutip rasuah bagi pihak bekas eksekutif MBI itu.

SPRM juga mengesyaki dua suspek utama itu mempunyai kaitan dengan seorang ahli politik terkenal, yang pernah mempunyai pengaruh di Selangor.

Susulan penahanan itu, SPRM telah menyerbu sekurang-kurangnya tiga premis di Lembah Klang yang mereka percaya digunakan sebagai "safe house" untuk menyimpan rasuah bagi ahli politik yang tidak dinamakan itu.

Azam Baki ketika sidang media semalam mengesahkan empat tangkapan dan serbuan telah dilakukan ke atas rumah berkenaan.

SPRM juga memaklumkan agensi itu telah merampas wang tunai berjumlah lebih RM5 juta daripada premis terbabit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS