Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPM beri guru, sekolah autonomi laksanakan UASA sesi 2024/2025
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 10:00 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

PARLIMEN | Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan autonomi kepada guru dan sekolah dalam pelaksanaan ujian akhir sesi akademik (UASA) bagi sesi 2024/2025 sebagai langkah penambahbaikan dan pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata penambahbaikan itu turut melibatkan perubahan bentuk pelaporan daripada penguasaan Pentaksiran Berterusan (PB) kepada format peratusan dan gred.

"Ujian akhir sesi akademik ini bukanlah ujian yang menggantikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) kerana ia bukan peperiksaan pusat.

"Ujian ini bersifat low stakes dan untuk mengurangkan tekanan peperiksaan terhadap murid,” katanya.

Dia menegaskan ujian tersebut tidak bertujuan untuk membandingkan prestasi atau pencapaian antara murid, sekolah, daerah, atau negeri sebaliknya lebih kepada membantu murid membangunkan dan memperkembangkan potensi sebagai persiapan menghadapi fasa pembelajaran seterusnya.

Wong berkata demikian dalam sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini sebagai jawapan kepada usul yang dikemukakan oleh Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengembalikan semula sistem peperiksaan UPSR dan PT3.

Wong berkata melalui PBS, guru dan murid dapat mengenal pasti kelemahan serta cabaran dalam pembelajaran yang membolehkan pelaksanaan program intervensi pemulihan.

Selain itu, katanya, pendekatan tersebut juga mengiktiraf kepelbagaian potensi, bakat, dan kemampuan setiap murid.

Dia berkata pelaksanaan PBS adalah selaras dengan Education 2030 Incheon Declaration and Framework for Action yang dibentangkan di Forum Pendidikan Dunia di Korea Selatan pada 21 Mei 2015.

Deklarasi Incheon itu menggariskan pentaksiran pendidikan berkualiti melalui pentaksiran berterusan berasaskan bilik darjah serta pentaksiran komprehensif yang merangkumi aspek kognitif dan bukan kognitif.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS