Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU Mufti Wilayah: Pejabat menteri terbuka untuk berbincang
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 6:51 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Kira-kira 24 jam diajak berdialog, hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar menghantar isyarat bahawa pihaknya sedia menyambut pelawaan Mohd Asri Zainul Abidin untuk membincangkan isu berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

Setiausaha politik menteri, Muhamad Razak Idris, berkata dalam konteks RUU Mufti Wilayah Persekutuan yang akan dibentangkan di parlimen, ia sudah melalui suatu proses libat urus yang komprehensif.

Katanya pendekatan itu diabuat bagi memastikan RUU berkenaan teratur dan selaras dengan perlembagaan serta undang-undang sedia ada.

"Saya ingin menjelaskan bahawa pejabat menteri dan agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa terbuka mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan input, syor dan pandangan terbaik ke arah memartabatkan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhamad Razak lagi, pejabat menteri juga giat melaksanakan sesi penerangan berkaitan isu-isu berbangkit mengenai RUU tersebut bagi menjelaskan kekeliruan dan salah faham yang timbul.

"Oleh itu, saya mengajak orang ramai supaya merujuk dan menggunakan saluran rasmi sekiranya memerlukan penjelasan lanjut berkaitan perkara ini," katanya.

Tak digubal tergesa-gesa

Terdahulu Malaysiakini melaporkan bagaimana Mohd Asri mengajak Mohd Na'im berdialog secara terbuka bagi membincangkan perkara itu - yang menjadi polemik beberapa pihak akhir-akhir ini.

Mufti Perlis itu juga meminta media rasmi kerajaan memberi ruang kepadanya untuk berdialog dengan senator terbabit supaya rakyat dapat menilai kemampuan seorang menteri.

Sebelum ini Mohd Na'im dilaporkan berkata RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga dalam sidang parlimen yang bermula hari ini selepas mendapat persetujuan daripada kabinet.

RUU tersebut dikatakan digubal bagi memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Labuan.

Muhamad Razak berkata, pihak menteri berharap orang ramai mengelakkan daripada mencetuskan provokasi dalam masyarakat awam dengan membincangkan isu-isu berkaitan pemikiran keagamaan yang rumit dan memerlukan kepakaran yang khusus secara terbuka.

"Saya menyeru orang ramai menggunakan media sosial secara berhemah dan beretika serta menjaga tutur kata agar tidak mengguris perasaan mana-mana pihak demi memelihara kewibawaan dan kehormatan terhadap institusi pentadbiran hal ehwal agama di negara kita, seterusnya menjamin kesejahteraan beragama di kalangan umat Islam," katanya.

Hari ini Mohd Na'im menjelaskan RUU Mufti Wilayah Persekutuan tidak digubal secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses penggubalan yang teliti dan panjang.

Katanya pada 2021 satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan menggubal akta khusus untuk mufti.

Jawatankuasa itu, kata Mohd Na'im, dianggotai wakil dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS