Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Tanah runtuh: Polis arah penghuni 20 rumah di Taman Melawati pindah
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 6:28 PM
Dikemaskini: 10:30 AM

Polis mengarahkan penghuni 20 rumah di Taman Melawati, Ampang di sini supaya mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di kawasan berhampiran, akibat hujan lebat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata kesemua penduduk yang terkesan dengan kejadian itu diarahkan berpindah ke Dewan Serbaguna Jalan E5 Taman Melawati buat masa ini.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tanah runtuh di persimpangan Jalan Serdang dan Jalan E6 Taman Melawati pada 10.30 pagi yang menyebabkan 20 rumah teres terputus hubungan dengan laluan utama.

“Sebuah kereta mengalami kerosakan akibat terkena runtuhan tanah dan sebuah kabin pondok pengawal juga terbalik akibat runtuhan tersebut namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar memaklumkan sepasukan enam anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan pada 11.42 pagi.

“Pasukan mendapati berlaku runtuhan tanah di lereng bukit berkeluasan 20x20 meter serta runtuhan berketinggian 30 meter, namun kejadian tidak melibatkan mangsa serta kediaman, tetapi masih berlaku pergerakan tanah di kawasan itu," katanya dalam kenyataan pagi ini.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kegagalan sistem pengaliran longkang di Jalan G2, Taman Melawati yang tersumbat dikenal pasti sebagai punca kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan pagi tadi. 

Katanya, beliau telah mengarahkan Pasukan Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mendapatkan gambaran terperinci situasi kawasan tanah runtuh di Taman Melawati itu.

Beliau berkata insiden di Jalan E6 dan Jalan G2 taman tersebut yang berlaku pada 10.15 pagi tadi, telah dimaklumkan kepadanya oleh pasukan JKR.

"Sebanyak empat rumah dan sebuah kereta dikenal pasti terkesan akibat kejadian gelinciran tanah ini. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nanta berkata pihak CKC JKR telah mengeluarkan amaran tahap bahaya kepada JKR Daerah Gombak serta Hulu Langat pada 4.37 petang semalam bagi mengambil langkah berjaga-jaga dan amaran itu juga dipanjangkan kepada wakil Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Nanta turut meminta semua penduduk di kawasan terjejas untuk mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS