Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki maut dibaham harimau di Gerik
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 6:16 PM
Dikemaskini: 10:34 AM

Seorang lelaki ditemukan maut disyaki dibaham harimau berhampiran rumah kongsi Bagan Balak di Kilometer 79.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata mangsa berusia 54 tahun dan bekerja sebagai pengendali jentera berat dipercayai hendak ke tandas rumah kongsi berkenaan.

Beliau berkata kejadian itu disaksikan oleh isteri mangsa yang merupakan warga Thailand dan bekerja sebagai tukang masak.

“Pusat Kawalan Daerah Gerik telah menerima maklumat berkaitan kes itu kira-kira 8.25 pagi dengan kejadian dipercayai berlaku di antara 5 hingga 6 pagi semasa mangsa hendak pergi ke tandas.

“Pengadu memaklumkan terdengar bunyi harimau mengaum lalu membuka pintu rumah kongsi dan telah melihat haiwan itu sedang mengheret mangsa ke arah semak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azizi berkata sepasukan polis bersama 10 anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah ke lokasi kejadian untuk siasatan dan lelaki itu kemudian dijumpai pada 12 tengah hari kira-kira 100 meter dari rumah kongsi berkenaan dengan mangsa mengalami cedera parah di kaki kiri dan leher.

"Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Gerik bagi tujuan bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata pihaknya telah mengarahkan beberapa anggota untuk berada di kawasan hutan berhampiran Bersia, Gerik bagi memantau kehadiran harimau itu.

Yusoff berkata Perhilitan juga akan memasang satu perangkap khas di lokasi kejadian esok yang dirasakan sesuai dan melibatkan laluan yang menjadi kawasan rayau harimau terbabit.  

“Kami telah mengarahkan kira-kira empat hingga lima orang anggota Perhilitan untuk bersedia di kawasan Kompartmen 42 Hutan Simpan Amanjaya untuk memantau kehadiran harimau dan esok akan pasang perangkap.

“Sehingga kejadian pagi tadi, pihak kami tidak menerima sebarang laporan berhubung kehadiran atau kebimbangan daripada mana-mana pihak tentang kehadiran harimau walaupun kawasan itu berhampiran hutan dan kejadian ini adalah di luar jangkaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS