Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
EAIC tubuh pasukan khas siasat sindiket visa perubatan
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 6:10 PM
Dikemaskini: 10:10 AM

Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat isu salah laku terkait sindiket visa perubatan yang dikeluarkan kepada warga asing.

Dalam kenyataannya, agensi terbabit berkata keputusan menubuhkan pasukan khas itu diambil dalam mesyuarat suruhanjaya yang diadakan hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal yang dibentangkan dalam mesyuarat tersebut EAIC berpendapat perlu dijalankan siasatan menyeluruh kerana wujud aktiviti-aktiviti yang mencurigakan.

EAIC berkata dapatan itu diperolehi berdasarkan dokumen-dokumen yang disita.

"Tindakan ini diambil bagi memastikan perkhidmatan kemudahan visa perubatan kepada warga asing diluluskan dengan penuh integriti dan melindungi keselamatan negara," katanya.

Sebelum ini, EAIC mengesahkan mereka sedang menyiasat skandal sindiket visa perubatan melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

EAIC juga mengesahkan hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit JIM Putrajaya pada 1 Okt lalu dan melaksanakan penyitaan ke atas 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan).

Kenyataan itu menyusul selepas Malaysiakini menyiarkan laporan beberapa pegawai JIM sedang disiasat kerana disyaki terlibat dalam sindiket visa perubatan melibatkan warga asing.

Dr Razali Ab Malik

Menurut agensi itu lagi penubuhan pasukan petugas khas itu dibuat selaras dengan Subseksyen 17(1) Akta EAIC 2009.

Tambahnya, pasukan petugas khas kali ini akan diketuai oleh Dr Razali Ab Malik yang juga merupakan salah seorang Pesuruhjaya EAIC.

EAIC menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan siasatan berkenaan untuk menghubungi pegawai siasatan di talian 019-2325569.

EAIC merupakan badan berkanun persekutuan yang ditubuhkan, antara lain, bagi menyiasat sebarang aduan salah laku membabitkan pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS