Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keadilan buat ‘Kopi’ - Aktivis hak binatang mahu heret MDB ke mahkamah
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 5:58 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Majlis Daerah Besut (MDB) Terengganu, yang mempertahankan kes menembak anjing liar yang dikenali sebagai Kopi pada 6 Okt lalu, akan diheret ke mahkamah berhubung kejadian itu.

Peguam hak binatang, Rajesh Nagarajan berkata gabungan kumpulan hak haiwan, yang mahu anggota terbabit didakwa, akan memfailkan saman dengan Mahkamah Tinggi Terengganu minggu depan.

“Kita mahu semua anggota terbabit didakwa mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

“Kami menuntut polis bertindak terhadap mereka. Kami tidak akan terima laporan polis kami ditandakan sebagai tiada tindakan lanjut. Hentikan membunuh anjing terbiar,” katanya kepada media.

Terdahulu, kira-kira 100 orang berkumpul sebagai bersolidariti dengan “Kopi” di balai polis Sentul di Kuala Lumpur, lokasi laporan mengenai pembunuhan anjing itu difailkan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Rajesh berkata antara yang hadir adalah aktivis sosial Lee Lam Thye, penyanyi Caprice dan seorang peguam yang dikenali di media sosial sebagai “Abe Jay”.

Katanya, laporan itu difailkan oleh ahli perniagaan S Shashi Kumar.

"Majlis Daerah Besut telah mengakui (pembunuhan) itu dan mempertahankan tindakan tersebut. Mereka yang terlibat mesti didakwa,” katanya.

Rajesh menambah adalah dipercayai bahawa majlis daerah lain juga mengambil tindakan yang sama terhadap haiwan liar tetapi setakat ini mereka tidak mempunyai bukti.

Sebelum ini, Yang Dipertua MDB Mohd Sukeri Ibrahim berkata bahawa tembakan ke atas Kopi yang mencetuskan kekecohan di media sosial, adalah mengikut prosedur operasi standard.

Dia juga menafikan dakwaan bahawa anjing tersebut dibiarkan oleh petugas setelah mati ditembak dan mendakwa bahawa usaha petugas untuk mengambil bangkai anjing tersebut telah dihalang oleh individu tertentu.

Susulan itu, tujuh NGO dari Sarawak dan Sabah tampil menggesa agar moratorium kaedah “membunuh” untuk mengawal populasi anjing liar digantikan dengan pendekatan lebih berperikemanusiaan yang konsisten dengan prinsip yang etika.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS