Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Separuh daripada kanak-kanak yang diselamatkan daripada Global Ikhwan Services and Businesses Holdings (GISBH) didapati kurang berat badan, dengan ada yang mengalami masalah gangguan kognitif, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.

Pasukan petugas mendapati 51.6 peratus daripada 558 kanak-kanak itu kurang berat badan menurut indeks jisim badan (BMI), kata Nancy di Dewan Rakyat hari ini.

Pasukan petugas itu juga mendapati 78 kanak-kanak (20.26 peratus) mengalami kerosakan kognitif sederhana, manakala 30 kanak-kanak (7.79 peratus) mengalami isu kognitif yang teruk.

“Setelah selesai proses untuk mendapatkan perintah jagaan sementara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menubuhkan pasuktan petugas pemprofilan kanak-kanak Op Global.

“Setakat 13 Oktober lalu, pemprofilan awal telah dijalankan ke atas 558 kanak-kanak yang kini di bawah perlindungan dan penjagaan JKM bagi mengumpulkan maklumat latar belakang mereka,” katanya.

Pada awal September lalu, polis melancarkan Op Global dan menyerbu rumah jagaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH di seluruh Semenanjung Malaysia, atas dakwaan eksploitasi kanak-kanak dan agama.

Seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan sementara 359 pengikut GISBH, termasuk pengurusan tinggi syarikat itu, ditahan.

Bilangan kanak-kanak yang diselamatkan kemudian meningkat kepada 662 orang, namun Nancy hari ini berkata 560 daripada mereka telah ditempatkan di bawah jagaan JKM manakala bakinya kembali kepada keluarga atau penjaga.

“Mula-mula saya sebut 560 (kanak-kanak) tetapi kita hanya tumpu kepada 558 orang. Dua orang (selain mereka) bersama ibu kerana masih menyusu. Jadi kita tak pisahkan mereka.

“Saya seorang ibu, saya akan pastikan itu tak akan berlaku,” katanya.

Nancy menjawab pertanyaan Mumtaz Nawi (PN-Tumpat) berhubung dakwaan ada bayi yang masih menyusu dipisahkan daripada ibu mereka.

Selain itu, Nancy mendedahkan tiga kanak-kanak memiliki kad OKU, sementara 27 lagi menunjukkan gejala kurang upaya.

Katanya lagi, JKM akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi melakukan penilaian kognitif yang lebih terperinci terhadap mereka.

Dalam pada itu, Nancy berkata keutamaan kementeriannya adalah mengembalikan kanak-kanak tersebut kepada ibu bapa dan keluarga mereka.

“Namun, seperti dinyatakan, ibu bapa dan keluarga kanak-kanak terbabit perlu dipastikan dapat berfungsi dengan baik dan boleh memberi penjagaan yang baik dan membina kepada mereka.

“Bagi kes yang jelas menunjukkan keupayaan ibu bapa dan keluarga, proses penyatuan semula boleh disegerakan,” katanya lagi.

Bagi kes yang lebih rumit pula, katanya, kementerian akan menjalankan program intervensi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS