Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Budak ketuk ketampi 500 kali - menteri pertahan guna Sosma kes GISBH
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 5:12 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan kanak-kanak di rumah jagaan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dihukum ketuk ketampi sebanyak 500 kali atas isu disiplin.

Saifuddin memperincikan apa yang dialami kanak-kanak itu dalam mempertahankan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) ke atas pegawai GISBH.

“...Saya katakan apabila (polis) lakukan siasatan, polis menemui perkara-perkara baru dan itu membawa kemungkinan lebih banyak tangkapan dan lebih banyak akta-kata berkaitan (digunakan).

“Tapi pokok pangkalnya apa? (Ini untuk) kebajikan kanak-kanak, tak boleh ada eksploitasi ke atas kanak-kanak (seperti) disuruh kerja di kilang, kebun dan sebagainya tanpa bayaran. Dan ia dianggap sebahagian proses latihan amali yang mereka (kanak-kanak) terima.

“Jika berlaku pelanggaran disiplin, misalnya ambil makanan tak ikut barisan, mereka dikenakan tindakan ketuk ketampi, bukan 100 kali (tetapi) 500 kali,” katanya ketika menggulung perbahasan isu GISBH di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menjawab kritikan yang pihak berkuasa bertindak melampau dalam kes tersebut.

Beberapa ahli Parlimen yang menyertai perbahasan mengkritik Kementerian Dalam Negeri dan polis berhubung pengendalian siasatan terhadap GISBH, termasuk penggunaan Sosma ke atas mereka yang ditahan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata siasatan polis mendapati kebanyakan daripada 625 kanak-kanak tidak mengenali ibu bapa sendiri kerana telah dipisahkan seawal usia setahun.

Malah ada yang ditukar identiti apabila mereka dipindahkan dari satu rumah jagaan ke rumah jagaan yang lain, katanya.

Katanya lagi, pihak berkuasa setakat ini dapat mengenal pasti identiti 597 kanak-kanak, sementara 28 lagi masih dalam siasatan.

Jejak aliran wang

Menurut Saifuddin, pihak berkuasa juga mendapati pemimpin GISBH mengenakan sumbangan minimum yang perlu dibuat anggotanya setiap bulan.

Katanya, anggota kumpulan dibahagikan kepada beberapa kluster dan setiap kluster perlu menyumbang sekurang-kurangnya RM70,000 sebulan.

“Duit ini tidak masuk dalam (akaun) GISBH yang didaftarkan, tapi pergi ke akaun individu dalam lembaga pengarah syarikat.

“Sebab itu bila polis rampas aset, semua transaksi bukan (melalui) pinjaman bank tetapi secara tunai.

“Jadi kita nak siasat punca wang dan ke mana ia dibelanjakan,” katanya lagi.

Saifuddin menegaskan polis menggunakan Sosma dalam siasatan kes GISBH berdasarkan dakwaan kesalahan yang dilakukan, termasuk pemerdagangan manusia, yang menurutnya jenayah yang serius.

Pihak berkuasa juga perlu lebih masa untuk melengkapkan siasatan ekoran ramai suspek terlibat, katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS