Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PAS: Beri inisiatif pada ibu untuk tingkatkan kadar kelahiran
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 4:35 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Ahli Parlimen PAS, Mumtaz Md Nawi meminta kerajaan mengkaji cara untuk menambah baik inisiatif bagi mengangkat status dan kemuliaan golongan ibu di negara ini.

Mumtaz Nawi (PN-Tumpat) berkata, hal ini sebagaimana amalan Order Of Maternal Glory di Mongolia yang telah terbuti dapat meningkatkan kadar kelahiran.

Order Of Maternal Glory mula diperkenalkan oleh Kesatuan Soviet dengan memberi anugerah kepada wanita yang melahirkan sejumlah anak.

Di Mongolia, wanita yang melahirkan enam anak atau lebih layak menerima inisiatif tunai sebanyak ₮200,000 MNT (RM255) setahun.

Manakala wanita yang melahirkan sekurang-kurangnya empat anak layak menerima inisiatif tahunan sebanyak ₮100,000 MNT (RM127) setahun.

Menurut Jabatan Perangkaan, kadar kesuburan pada tahun 2022 adalah 1.6 anak bagi setiap wanita dalam lingkungan usia reproduktif 15 hingga 49 tahun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri ketika menjawab pertanyaan Mumtaz, berkata kerajaan telah mula memperkenalkan Anugerah Inspirasi Ibu pada sambutan Hari Ibu peringkat kebangsaan tahun ini.

Menurutnya, anugerah ini diberikan kepada ibu-ibu istimewa untuk menghargai pengorbanan mereka dalam melahirkan dan membesarkan anak-anak.

Anugerah berkenaan adalah susulan daripada tinjauan Hari Ibu yang dijalankan oleh kerajaan, di mana 9 daripada 10 responden berpendapat peranan seorang ibu pada masa kini lebih mencabar berbanding dahulu.

Sementara itu, Nancy berkata kementeriannya telah melakukan pelbagai usaha untuk meningkatkan kadar kesuburan.

Ini termasuk pengecualian cukai untuk rawatan kesuburan, menawarkan rawatan tersebut pada kadar yang berpatutan, serta membuka klinik kesuburan lelaki.

Menurutnya, kerajaan juga dalam proses menubuhkan Pusat Subfertiliti Negara di Shah Alam, yang akan menyediakan rawatan kesuburan moden dengan caj yang berpatutan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS