Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shazalli kini penasihat media, komunikasi strategik PMO
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 3:41 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Penasihat Media Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Mohammed Shazalli Ramly, dilantik sebagai Penasihat Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkuat kuasa semalam.

PMO menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Mohammed Shazalli, 63, adalah bagi menggantikan Allahyarham Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu.

“Beliau yang ketika ini berkhidmat sebagai Penasihat Media Khazanah akan turut memantau urusan media dan komunikasi perdana menteri.

“Beliau juga akan ditugaskan untuk menambah baik pelaksanaan kempen Malaysia Madani,” kata PMO.

Mohammed Shazalli memegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari St Louis University, Missouri; dan Sarjana Muda Sains (Pemasaran) dari Indiana University Bloomington, kedua-duanya di AS.

Dia berpengalaman luas, antaranya pernah menjawat jawatan Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Bhd, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telekom Malaysia Bhd, serta CEO serantau dan Naib Presiden Eksekutif Korporat Axiata Group Bhd.

Rozaid, 60, meninggal dunia di kediamannya di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, tidak lama selepas beliau dibenarkan keluar dari Hospital Serdang selepas menerima rawatan akibat masalah jantung.

Allahyarham dilantik sebagai Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO pada 23 Mei 2023.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS