Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pakatan' Bagan Datuk membunuh demokrasi, kata PAS Perak
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 3:23 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

PAS Perak menganggap pengakuan Shamsul Iskandar Md Akin mengenai apa yang berlaku pada malam keputusan PRU ke-15 di Bagan Datuk sebagai detik "kematian" demokrasi.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata dia terkejut dengan dakwaan dibuat setiausaha politik kanan kepada perdana menteri itu.

“Tindakan Anwar mengarahkan agar kiraan semula tidak dibuat dalam keadaan pertikaian yang sangat munasabah adalah membunuh semangat demokrasi,” katanya.

Tambah Razman, kenyataan Shamsul Iskandar itu secara jelas menunjukkan wujud konspirasi di antara PH dan Umno yang dipimpin Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya ia juga menyanggahi amalan demokrasi dalam pilihan raya.

"Ia dilakukan atas arahan Anwar kerana menurutnya telah ada perjanjian antara Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Anwar untuk menubuhkan kerajaan bersama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perlu diberi perhatian

Terdahulu Malaysiakini melaporkan bagaimana Shamsul Iskandar - dalam satu program audio siar - mengakui Anwar menghubunginya pada jam 2 pagi untuk mengucapkan tahniah atas pembabitannya sebagai calon PH di Bagan Datuk.

Untuk rekod, dalam PRU yang berlangsung pada 19 Nov 2022, Shamsul Iskandar 'dibawa' dari Melaka untuk bertanding mencabar Ahmad Zahid di Bagan Datuk.

Apabila keputusan diumumkan, Ahmad Zahid mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis - 348 undi - di sebalik kedudukan dia sebagai presiden Umno dan Bagan Datuk merupakan kubu kuatnya.

Ahmad Zahid memperoleh 16,578 undi berbanding Shamsul Iskandar 16,230 undi. PN pula diwakili Dr Faiz Na'aman yang sekadar memperoleh 8,822 undi.

Dalam PRU ke-14 yang diadakan pada 2018, Ahmad Zahid memenangi kerusi tersebut dengan kelebihan 5,073 undi.

Mencabar keputusan pilihan raya dengan meminta kiraan semula undi adalah salah satu jalan yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada seseorang calon, dengan syarat tertentu.

Bagaimanapun mencabar dan meminta kiraan semula undi itu bukanlah sesuatu yang wajib.

Menurut Razman pengakuan Shamsul Iskandar itu juga membuktikan bahawa kerajaan yang ada hari ini bukanlah kerajaan perpaduan yang ditubuhkan atas arahan Yang di-Pertuan Agong.

Sebaliknya, dakwa Adun Gunung Semanggol itu lagi, hasil konspirasi awal di antara Anwar dan Ahmad Zahid.

"Ia telah disahkan seawal 2.30 pagi selepas hari pengundian berbanding penubuhan kerajaan dua hari kemudian," katanya.

Razman juga mendakwa Ahmad Zahid mengkhianati pengundi Umno yang memberikan undi kepada dia dan parti itu kerana menolak Anwar melalui kempen No Anwar No DAP.

Dakwa Razman, rakyat sudah dipergunakan melalui ketempangan sistem yang ada.

"PAS Perak melihat pengakuan ini sebagai sesuatu yang besar dan perlu diberi perhatian serta membuktikan bahawa kerajaan yang ditubuhkan penuh dengan muslihat dan pembohongan yang membunuh semangat demokrasi pilihan raya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS