Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan siasatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membawa kepada terbongkarnya pelbagai maklumat hasil pengalaman individu yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, berkata rata-rata ahli-ahli GISBH yakin bahawa pengasas ajaran Aurad Muhamadiah, Syeikh Suhaimi, adalah Imam Mahadi.

“Berdasarkan kepada sesi temu bual bersama saksi-saksi, Jakim telah membongkar hasil pengalaman mereka semasa berada dalam Al-Arqam, Rufaqa dan GISBH.

“Antara penyelewengan mereka merangkumi aspek akidah, syariah dan akhlak/tasawuf/muamalat,” jelas Mohd Na’im dalam sesi kenyataan menteri hari ini.

Menurut Mohd Na’im, antara fahaman yang dipegang mereka termasuklah meyakini pengasas kumpulan tersebut, Ashaari Muhammad - atau nama sebenarnya Asari Muhamad - merupakan Pemuda Bani Tamim yang akan menyelamatkan dunia.

Mereka percaya Ashaari - yang meninggal dunia pada 13 Mei 2010 - akan muncul semula sebagai pembantu Syeikh Suhaimi yang ketika itu diangkat sebagai Imam Mahdi.

Kata Mohd Na’im ahli-ahli GISBH terbabit juga turut meyakini bahawa semua ahli akan selamat di alam kubur kerana dibantu oleh syafaat Ashaari ketika menjawab soalan Munkar dan Nakir.

Jemaah juga, katanya, kini didoktrin untuk memohon keberkatan kepada pemimpin semasa seperti ahli lembaga pengarah yang dilantik dalam syarikat tersebut.

Mohd Na’im berkata mereka turut percaya kepada pelaksanaan solat jamak setiap hari dan tidak melaksanakan solat Jumaat.

Tambah ahli Dewan Negara itu lagi, pasangan suami isteri dalam GISBH juga melalui proses akad nikah dua kali.

Pertama katanya dinikahkan oleh pemimpin sebelum diikuti akan nikah kali kedua bagi memenuhi syarat perundangan dan membolehkan perkahwinan tersebut didaftarkan di jabatan agama Islam negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS