Polis Diraja Malaysia (PDRM) mematuhi semua peruntukan sedia ada dalam siasatan mereka ke atas GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Katanya siasatan yang dijalankan adalah berdasarkan laporan dan maklumat yang diterima serta hasil risikan.
Selain itu menurut Razarudin, siasatan dijalankan dengan berhati-hati bagi memastikan ia telus serta menyeluruh.
“Seperti dijelaskan sebelum ini, PDRM menjalankan siasatan mengikut undang-undang yang ada untuk kesalahan seperti Akta Kanak-kanak, Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan akta-akta lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Razarudin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan tiada keperluan kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal milik GISBH untuk diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Razarudin berkata siasatan terhadap GISBH turut dijalankan di bawah kes jenayah iaitu Kanun Keseksaan (KK) seperti Seksyen 506 KK serta Seksyen 354 KK.
Katanya terdapat kertas siasatan sudah didakwa di mahkamah, selain Op Global dilaksanakan dengan kerjasama agensi lain.
Razarudin berkata berdasarkan siasatan, wujud unsur pengabaian dan penderaan terhadap kanak-kanak malah terdapat beberapa video tular menunjukkan elemen itu berlaku di rumah amal tersebut.
“Tindakan pihak polis adalah untuk menyelamat mangsa-mangsa dipercayai diabaikan, dianiaya, didera atau dieksploitasi, selain menangkap dan seterusnya mendakwa individu bertanggungjawab dalam kesalahan tersebut,” tegasnya.
Terdahulu media melaporkan seramai 96 ibu bapa kepada 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH, memohon agar anak mereka dipulangkan semula ke pangkuan keluarga masing-masing berikutan sudah hampir lebih sebulan tidak berjumpa.
- Bernama