Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib tarik balik rayuan berhubung perintah injunksi mareva AS$681 juta

Najib Razak menarik balik rayuan bagi mengetepikan perintah injunksi mareva yang diperoleh 1MDB serta anak syarikat pelaburan strategik negara itu terhadapnya daripada melupus atau mengurangkan nilai mana-mana asetnya di Malaysia sehingga AS$681 juta.

Peguam bekas perdana menteri itu, Muhammad Farhan Muhammad Shafee memberitahu Mahkamah Rayuan pagi ini bahawa rayuan itu telah menjadi 'akademik'.

Muhammad Farhan Muhammad Shafee

Bagaimanapun, peguam Najib tidak menjelaskan apa yang dia maksudkan dengan perkara itu menjadi akademik.

Sehubungan itu, panel dipengerusikan Hakim Lee Swee Seng yang bersidang bersama-sama Choo Kah Sing dan Azman Abdullah membatalkan rayuan berkenaan dan memerintahkan defendan membayar kos RM30,000 kepada 1MDB dan empat anak syarikatnya.

Pada 9 Feb 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan ex-parte bagi injunksi mareva oleh 1MDB untuk mengekalkan status quo dalam tuntutan mahkamah AS$8 bilion terhadap Najib.

Injunksi itu turut mengehadkan Najib mengeluarkan wang tidak melebihi RM100,000 sebulan yang diperlukan untuk perbelanjaan sara hidup dan guaman namun sekiranya jumlah lebih banyak diperlukan, beliau perlu mendapat kebenaran bertulis daripada peguam 1MDB dan anak syarikatnya, Global Diversified.

Perintah itu juga menyatakan Najib mesti membuat pendedahan secara bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified berhubung asetnya bernilai sehingga AS$681 juta sama ada di dalam atau di luar negara di bawah namanay sendiri atau tidak dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama dengan defendan lain.

Injunksi mareva itu adalah berkaitan saman difailkan 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadap Najib bagi menuntut AS$8 bilion daripadanya dan tujuh yang lain berikutan kerugian kewangan dialami syarikat berkenaan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS