Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'RUU Mufti digubal dengan teliti, tak dipengaruhi mana-mana pihak'
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 12:05 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan tidak digubal secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses penggubalan yang teliti dan panjang, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata pada 2021, satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan menggubal satu akta khusus untuk mufti.

Jawatankuasa itu dianggotai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kehakiman Syariah, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Selangor, katanya dalam kenyataan hari ini.

“Penggubalan RUU Mufti ini adalah usaha yang diambil oleh kerajaan bertujuan untuk memartabat dan memperkasakan institusi mufti di Wilayah-wilayah Persekutuan. 

“Menerusi pemerkasaan ini, bidang kefatwaan dan pembangunan hukum syarak akan dapat ditadbir secara teratur, telus serta berwibawa ke arah meningkatkan keberkesanan tadbir urus pentadbiran Islam di Malaysia,” katanya lagi.

RUU Mufti, yang akan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga dalam sidang Dewan Rakyat kali ini, dihujani kritikan banyak pihak, antaranya oleh Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, yang menyifatkannya sebagai membawa “tafsiran sempit” dan tidak inklusif mengenai Ahli Sunnah wal Jamaah.

Peguam, Latheefa Koya berkata ia boleh membawa kesan serius kepada orang Islam di Malaysia, sementara NGO Sisters in Islam berpandangan ia akan memberi kuasa tanpa batasan kepada pihak berkuasa agama.

Mohd Asri Zainul Abidin

Terbaru, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengajak Mohd Na’im untuk berdialog untuk menilai kemampuan menteri itu mempertahankan RUU itu.

Mohd Na’im tidak mengulas ajakan Mohd Asri dalam kenyataannya, namun berkata penggubalan RUU Mufti tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak tertentu.

Dia juga berkata proses penggubalannya dipastikan dibuat secara teratur dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.

“Sehubungan itu, semua pihak dinasihatkan untuk berhati-hati dengan sebarang kenyataan yang tidak bersandarkan fakta kerana ia boleh mencetuskan polemik terhadap usaha murni ini,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS