Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nga kongsi kisah bantu ibu mengandung didapati bersalah curi susu
Diterbitkan:  Oct 15, 2024 10:31 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkongsi kisah yang menyentuh hati tentang kejadian ketika dia membantu seorang ibu hamil di mahkamah.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, semasa menjadi peguam, dia telah mengambil banyak kes pro bono, salah satunya melibatkan wanita itu, yang telah ditangkap mencuri susu tepung di sebuah pasar raya.

Dia berkata selepas siasatan lanjut, didapati dia adalah pesalah berulang.

“(Untuk pesalah) kali pertama, anda boleh dilepaskan dengan membayar kompaun. Kali kedua, anda kena masuk penjara. Jadi saya merayu untuknya,” katanya dalam klip video yang disiarkan di X pada Ahad.

Nga menjelaskan bahawa dia membela ibu itu kerana jenayahnya adalah kerana terdesak - dia telah mencuri susu tepung itu bukan untuk dirinya sendiri tetapi untuk memberi makan kepada dua anaknya, seorang yang masih bayi, dan seorang yang merupakan janin dalam kandungannya.

“Jadi saya beritahu hakim, undang-undang bukan sahaja perlu adil tetapi juga perlu berperikemanusiaan.

“Jika anda (hakim) mengikut undang-undang, dia akan dipenjarakan selama enam bulan, dan dia akan melahirkan bayinya di penjara. Bolehkah anda bayangkan apa yang akan berlaku kepadanya? Pengalaman trauma melahirkan bayi di penjara,” jelasnya.

Selepas rayuannya, mahkamah bersetuju mengurangkan hukumannya kepada kompaun RM300, yang dibayar sendiri oleh Nga.

“Saya tidak mengenakan bayaran guaman kepadanya malah membeli susu tepung untuknya juga.

“Saya tidak kaya pada masa itu. Tetapi apabila dia menangis dan menjabat tangan saya, saya berasa sangat gembira.

"Dengan membantu orang ramai, saya percaya anda akan lebih gembira," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS