Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2025: Usahawan PMKS harap cukai baru tak diperkenal

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) berharap kerajaan tidak memperkenalkan sebarang cukai baharu dan mengenakan cukai tambahan yang boleh mengurangkan lagi daya saing sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Presiden SAMENTA Datuk William Ng sebaliknya mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi tumpuan untuk membantu sektor itu menambah baik operasi dan pengurusan kos dengan memanfaatkan pelbagai peluang termasuk kecerdasan buatan dan perubahan susunan ekonomi global.

“Kami tetap komited untuk menyokong Ekonomi MADANI dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan berharap keluhan PMKS dapat ditangani dalam Belanjawan 2025,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Perhubungan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) Kedah dan Perlis, Leonm Tang Kai Zhe pula berharap kerajaan dapat menyediakan insentif khusus kepada PMKS dalam Belanjawan 2025 termasuk pemberian elaun bagi syarikat yang menggajikan graduan ijazah dan diploma.

“Kerajaan telah menetapkan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan dan banyak syarikat PMKS yang menghadapi kesukaran untuk membayar gaji kerana pendapatan syarikat yang mungkin tidak besar.

“Bagi lepasan diploma dan ijazah, bayaran gaji mereka adalah lebih tinggi daripada RM1,500. Jadi ini lebih membebankan syarikat-syarikat kecil dan sederhana untuk menggaji mereka dan mungkin terpaksa menggaji pekerja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata cadangan pemberian elaun kepada syarikat PMKS itu hanya untuk tempoh tertentu seperti enam bulan untuk membantu mengurangkan beban syarikat yang menggaji graduan diploma dan ijazah.

Sementara itu di Kelantan, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) negeri itu Wan Zulkifli Wan Abdullah turut berharap agar kerajaan dapat memperbanyakkan insentif pengurangan cukai bagi penggunaan teknologi, Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan produk halal kepada PMKS.

Beliau berkata insentif cukai itu adalah untuk memudahkan usahawan yang baru memulakan perniagaan, sedang dalam fasa pertumbuhan atau yang masih bergelut memulihkan kembali pernigaaan mereka sejak pendemik COVID-19.

"Kita harap kerajaan dapat beri lebih banyak peruntukan dan insentif dalam infrastruktur digital seperti internet berkelajuan tinggi dan akses kepada teknologi.

"Selain itu, usaha yang boleh diambil oleh kerajaan termasuk memperluaskan liputan internet serta mempromosikan transformasi digital dalam kalangan PMKS melalui program bantuan teknikal dan kewangan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Wan Zulkifli berkata kerajaan juga memberi insentif kepada usahawan PMKS melalui penubuhan dana khas dengan faedah rendah atau tanpa faedah untuk usahawan sektor itu dengan proses permohonan dan penilaian yang lebih mudah.

"Selain itu kerajaan juga perlu melindungi peniaga tempatan yang membayar cukai dengan mengawal kebanjiran peniaga warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan Kemboja kerana ada di antara mereka tidak membayar cukai untuk perniagaan seperti kedai gunting rambut, kedai runcit dan gerai buah-buahan," katanya.

Beliau turut memohon agar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula bagi menjamin hasil negara yang lebih cekap sekali gus dapat mengukuhkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Belanjawan 2025 yang bertemakan "Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera" akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 18 Okt ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS