Paling Popular
Terkini

Tajuk ini bukan tuduhan, sekadar lontaran pertanyaan. Keraguan sedemikian menunjal-nunjal di benak saya sejak kebelakangan ini atas beberapa perkembangan yang berlaku sekitar portfolio beliau yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama Islam. 

Menteri agama dianggap seolah-olah tidak mewakili keseluruhan umat Islam di Malaysia, tetapi secara terang-terang berpihak kepada sebahagian umat Islam dalam sesuatu keadaan. Sebagai seorang menteri persekutuan, beliau wajib bersikap impartial, tidak bias dan tidak mendiskriminasi walaupun terhadap pihak yang tidak sealiran dengannya, selagi mereka bergelar Muslim.

Peranan menteri agama dalam pindaan Rang Undang-undang Mufti Wilayah Persekutuan (RUU) yang kontroversi baru-baru ini mempamerkan sikap beliau yang berpihak dan mengamalkan pendekatan eksklusif, ketika perdana menteri (PMX) yang menggagaskan visi Madani sendiri menekankan pendekatan yang inklusif. 

PMX mahukan inklusif, menteri agama mengamalkan eksklusif. Kontra Madani bukan?

Pindaan tersebut khabarnya bakal dibentangkan di Dewan Rakyat minggu ini. Sebelum ini cadangan pindaan tersebut melibatkan Perkara 4(a) RUU yang menambah ayat “berkenaaan akidah yang mengikut pegangan yang bersumberkan daripada aliran Asyairah dan Maturidiah.”

Satu lagi cadangan pindaan yang kontroversi adalah Perkara 16(3) yang tertulis, “Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa yang berhubungan dengan akidah, Jawatankuasan Fatwa hendaklah mengikut pegangan yang bersumberkan aliran Asyairah dan Maturidiah.” 

Di sinilah ia bersifat eksklusif, tidak inklusif. Ada yang berhujah bahawa pindaan ini adalah khusus untuk Wilayah Persekutuan, tidak terpakai kepada mana-mana negeri lain dan tidak memberikan implikasi kepada mana-mana negeri lain dalam Persekutuan. 

Benar, secara teknikalnya. Secara moral dan praktikalnya ia memberikan kesan yang menyeluruh terhadap semua umat Islam di Malaysia. Mengapa? Kerana Wilayah Persekutuan itu merangkumi ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur; ibu kota pentadbiran Malaysia, Putrajaya; dan bandar bebas cukai, Labuan. 

Berbanding Labuan yang secara relatif kurang signifikan, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah dua kota terpenting yang dihuni dan dikunjungi oleh umat Islam daripada seluruh pelosok negara. Sebarang perubahan dan perkembangan di dua kota besar tersebut pastinya memberikan kesan langsung dan tidak langsung terhadap seluruh umat Islam Malaysia, malah umat Islam dari seluruh dunia. 

‘Melting pot’

Tidak mengapa jika ia dilaksanakan di Negeri Sembilan atau Perak misalnya, tidak begitu memberi kesan, tetapi ini adalah melting pot, Wilayah Persekutuan. Justeru, pendekatan eksklusif sepertinya membunuh semangat inklusif yang ingin disemai oleh pihak kerajaan.

Seterusnya, timbul satu lagi persoalan. Mengapa mahu dibataskan pemahaman akidah terhadap akidah Asyairah dan Maturidiah sahaja? Menteri agama mahu mewakili siapa sebenarnya? Sejak bila yang pemahaman Asyairah dan Maturidiah sahaja yang paling betul? 

Seingat saya, sejak tahun 1980-an, tidak pernah pun mana-mana buku teks Pendidikan Islam sekolah rendah dan menengah Malaysia menyebut tentang akidah Asyairah dan Maturidiah, selepas Ahlussunnah Waljamaah. Kita diajar tentang Sifat 20, tetapi tidak pernah mengenali Asyairah dan Maturidiah. 

Wacana berkenaan hanya kedengaran dalam kalangan agamawan Malaysia sejak 10-15 tahun kebelakangan ini. Tanyalah secara rambang kepada mana-mana umat Islam, di jalanan, di Malaysia, “apakah akidah anda?” Mereka akan menjawab “Islam”. Kalau lebih sedikit pengetahuannya, ia akan menjawab, “Ahli Sunnah wal Jamaah.” 

Hanya mereka yang benar-benar mengikuti dan menekuni perbahasan perbezaan metodologi akidah sahaja yang dapat menjawab “Saya menurut Asyairah dan Maturidiah” ataupun “Saya menurut Salafi/Ahli Hadith.” 

Umat Islam Malaysia, secara jelas menerima dan memahami bahawa “kita semua adalah Ahli Sunnah wal Jamaah,” setakat itu sahaja.

Sekarang siapa yang menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat? Yang tiada diada-adakan. Apakah manfaatnya? Ia dilihat sekadar ingin menyekat secara perundangan sebuah perbahasan ilmiah dalam metodologi akidah. 

Pindaan yang dicadangkan tersebut, jika dikekalkan, hanya membuka pintu kepada perpecahan dan perseteruan yang mengundang ekstremisme. Sanggupkah menteri agama menjadi punca kepada perpecahan umat Islam di Malaysia dan dikenang dalam sejarah kerananya? 

Sebuah perbezaan yang sepatutnya diwacanakan secara ilmiah oleh para agamawan kelak dibawa turun ke khalayak umum untuk menyemai dikotomi dan sektarian, ketika pintu ijtihad terbuka luas dan dijamin. 

Kontra Madani lagi nampak gayanya wahai menteri agama. 

Madani, prinsip utamanya adalah penyatupaduan, sedangkan pindaan ini membawa kepada perpecahan. Saya yakin bahawa PMX tidak akan merelakan risiko perpecahan ini, kerana ia jelas bertentangan dengan semangat Madani. 

Tauhid Tiga di sekolah

Malah, sebenarnya PMX sendiri adalah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan metodologi Tauhid Tiga (Rububiyah, Uluhiyah dan Asma’ wa Sifat) dalam subjek Pendidikan Islam di Malaysia ini. Tauhid Tiga tidak diterima oleh golongan Asyairah dan Maturidiah bukan?

(Tauhid Tiga tak sama dengan doktrin Triniti. Jangan berdalih!) 

Berdasarkan kenyataan media yang dipaparkan dalam laman Facebook menteri agama kelmarin, “Dakwaan penggubalan RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024) akan menggugat kebebasan warganegara adalah tidak benar. 

Hakikatnya, seseorang individu mempunyai hak kebebasan sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, kebebasan tersebut tidaklah bersifat mutlak kerana dibataskan antara lain Perkara 8(5)(a), 10, dan 11(5). 

Merujuk kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan perihal kebebasan bercakap dan berpersatuan, adakah bermaksud sesiapa yang tidak mengikuti metodologi akidah Asyairah dan Maturidiah membawa implikasi terhadap ketenteraman awam atau prinsip moral? 

Demikian juga yang disebut oleh menteri agama tersebut dalam Perkara 11(5), yang membawa maksud pengenalan Asyairah dan Maturidiah itu adalah untuk memelihara ketenteraman awam dan prinsip moral. 

Bolehkan saya membuat inferens bahawa metodologi akidah selain Asyairah dan Maturidiah, misalnya seperti yang diamalkan di Perlis itu mengancam ketenteraman awam dan melukakan prinsip moral? Atau PMX sendiri yang bersetuju dengan Tauhid Tiga itu juga termasuk dalam pengertian Perkara 11(5) tersebut? Madanikah begitu? Rumit untuk menjawabnya, bukan?

Duhai menteri agama, status quo sebelum ini tidak pernah mendatangkan sebarang masalah dan pertelingkahan dalam umat Islam di Malaysia, sehinggalah cadangan pindaan tersebut diutarakan. Mengapa tiada beban, batu nak digalas? Peranan menteri agama adalah mendamaikan, bukan mengkucar-kacirkan. Itu tidak menepati semangat Madani yang digagaskan dengan mengambil kira semangat perpaduan yang ditanam oleh Rasulullah SAW dalam melalui peristiwa Hijrah ke kota Madinah sehingga termeterainya Piagam Madinah.

Dalam kerangka penggubalan tersebut, Rasulullah SAW memulakannya dengan “Sebarkan salam”. Salam yang membawa maksud selamat, aman dan damai. Selamat, aman dan damaikah kita dengan kerunsingan dan keributan yang ditimbulkan dengan sengaja ini? 

Sebelum menutup rencana ini, suka juga untuk saya bertanya. Setakat ini negeri Perlis, Pahang, dan Selangor sudah mengeluarkan fatwa bahawa GISB yang jijik dan menjijikkan itu sesat dan haram. Apakah pendirian Wilayah Persekutuan tentangnya? 

Mengapa masih belum diwartakan sebarang fatwa sehingga hari ini? Terlalu sibuk dengan urusan melobi pindaan RUU barangkali. Yang jelas sesat dan haram itu adalah GISB, tetapi lain yang diributkan.

Wahai, pena sejarawan sedang menunggu untuk mencatatkan momen penting dan genting ini. Di tangan menteri agama, Madani menyatu atau memecah?


SAHUL HAMID MOHAMED MAIDDIN ialah pensyarah kanan di sebuah universiti awam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS