Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asri ajak menteri agama berdialog isu RUU Mufti Wilayah
Diterbitkan:  Oct 14, 2024 6:32 PM
Dikemaskini: 10:32 AM

Beberapa hari menjelang pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan yang kontroversi, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin mengajak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar berdialog dengannya berhubung RUU itu.

Mohd Asri dalam satu hantaran di Facebook juga meminta media rasmi kerajaan untuk memberi ruang kepadanya untuk berdialog dengan senator terbabit supaya rakyat dapat menilai kemampuan seorang menteri.

"Menteri agama sepatutnya membawa agenda keluasan dan kesederhanaan yang selaras dengan idea Madani.

"Malangnya beliau seakan sedang membawa negara ini ke kancah kafir-mengkafir, sesat menyesatkan seperti yang pernah dilakukan oleh Ibn Tumart.

"Apa kata jika media rasmi kerajaan memberi ruang saya berdialog dengan menteri agama secara terbuka disaksikan rakyat tanda beliau berupaya mempertahankan ideanya?" kata Mohd Asri.

Sebelum ini Mohd Na'im dilaporkan berkata RUU itu akan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga dalam sidang parlimen yang bermula hari ini selepas mendapat persetujuan daripada kabinet.

RUU tersebut dikatakan digubal bagi memperkukuhkan institusi kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur, dan Labuan.

Perjuangkan idea sempit

Bacaan pertama rang undang-undang itu dilakukan pada Julai lalu. RUU ini adalah salah satu daripada tiga rang undang-undang berkaitan hal ehwal Islam yang sedang dibentangkan untuk pindaan.

RUU ini digubal antaranya untuk memberi takrifan kepada Ahli Sunnah wal Jamaah yang sudut akidahnya 'diikat' kepada sumber aliran Asyairah dan Maturidiah.

Bagaimanapun RUU berkenaan dikritik beberapa pihak, termasuk Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail, yang menyifatkannya sebagai membawa “tafsiran sempit” dan tidak inklusif mengenai Ahli Sunnah wal Jamaah.

Untuk rekod cadangan menjadikan dua aliran tersebut sebagai sumber muktamad dalam tafsiran RUU berkenaan turut mendapat reaksi negatif daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Mohd Na’im Mokhtar

Menyandarkan pandangannya kepada sejarah, Mohd Asri berkata, dalam sejarah pepecahan ummah ada tokoh utama aliran Asyairah iaitu Ibn Tumart.

Watak itu, katanya, merupakan antara individu yang bertanggungjawab sebagai penumpah darah terbesar dalam sejarah umat Islam.

"Dia telah membunuh sesiapa sahaja di bawah pemerintahannya yang enggan menerima tafsiran akidah Asyairah yang dia pegang. Asyairah dijadikan undang-undang negara.

"Ratusan ribu nyawa umat Islam menjadi korban. Pelbagai dakwaan pelik untuk mengukuhkan pemerintahannya dibuat seperti karamah, wali, Mahdi, tarekat dan lain-lain.

"Buku beliau sudah mula dicetak dan diedarkan di Malaysia oleh aktivis yang terlibat memperjuangkan idea sempit ini," tulis Mohd Asri lagi.

Juanda Jaya

Sementara itu Adun Jemoreng di Sarawak, Juanda Jaya, menyifatkan RUU Mufti Wilayah Persekutuan itu hanya akan membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Justeru Juanda mempersoal apakah kerajaan mahu mengikut langkah Iran pascarevolusi 1979 yang meletakkan agama negara itu sebagai Syiah isna Asyairiyah yang akhirnya menyakskan ramai ahli sunnah ditindas.

"Sejak merdeka keadaan pengurusan pentadbiran Islam di Malaysia berjalan lancar. Maka mengapa perlu diubah?

"Apakah takrifan baru Islam Asyairah dan Maturidiyah ini akan mewujudkan versi baru Islam? Versi Islam selama ini kurang baikkah?

"Apakah tidak cukup dengan perpecahan politik sedia ada yang berlaku di Malaysia tidak memadai?

"Sekarang perpecahan aliran agama pula hendak diketengahkan dan ditunggang hal ehwal agama Islam untuk kepentingan kepuakan dan aliran tertentu.

"Sikap holier than thou (perasaan lebih alim berbanding orang lain) ini biasanya bawa kehancuran sebuah negara," tulisnya di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS