Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GISBH: Jawatankuasa fatwa P Pinang buat keputusan Rabu ini

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang akan memutuskan sama ada ajaran dan kepercayaan dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) adalah sesat atau sebaliknya pada Rabu ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata bagi tujuan itu, jawatankuasa berkenaan akan bersidang selama dua hari bermula esok sebelum dipersembahkan untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

"Keputusan dan ketetapan akan dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Mufti Pulau Pinang Datuk Dr. Mohd Sukki Othman selepas bersidang," katanya kepada pemberita di Ekspo Halal Antarabangsa Pulau Pinang di Bukit Mertajam hari ini.

Setakat ini, empat negeri telah mengeluarkan fatwa berkaitan ajaran dalam GISBH sebagai sesat dengan Perlis menjadi negeri pertama berbuat demikian, diikuti oleh Selangor, Pahang, dan Melaka.

Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang memaklumkan bahawa pihaknya sudah bersiap sedia untuk menjalankan program pemulihan akidah kepada ahli terutamanya kanak-kanak yang diselamatkan daripada kumpulan berkenaan.

Program pemulihan akidah di Pulau Pinang akan diadakan di Kompleks Darul Hidayah di Permatang Tok Gelam, dekat sini, dengan penglibatan guru takmir JHEAIPP.

"Setakat ini, program pemulihan akidah belum bermula. Kita akan menunggu keputusan fatwa yang bersidang. Cuma kita sudah bersedia dan bergantung kepada keputusan fatwa," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS