Paling Popular
Terkini

Permohonan Institut Jantung Negara (IJN) untuk menaikkan 10 hingga 40 peratus yuran yang dikenakan terhadap pesakit akan dibincangkan bersama Kementerian Kewangan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Lukanisman berkata ini kerana IJN berada di bawah bidang kuasa kementerian kewangan.

“IJN adalah di bawah Kementerian Kewangan dan KKM adalah merupakan klien kepada IJN.

“Apa yang berlaku ketika ini adalah keputusan daripada pihak IJN. Kita akan berbincang dan juga akan memperhalusi apakah punca peningkatan kos atau pun fee yang mereka kenakan kepada pesakit,” katanya dalam sidang media selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024, di Parlimen, hari ini.

Khamis lalu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN yang baru dilantik Dr Mohamed Ezani Md Taib dilaporkan berkata pihaknya memohon kenaikan yuran kepada pesakitnya sehingga 40 peratus.

Ezani berkata, kajian semula terhadap struktur bayaran juga perlu dilaksanakan kerana ia tidak berubah sejak 21 tahun yang lalu dan kini mesti dikira dengan mengambil kira inflasi serta peningkatan kos.

Menurutnya lagi, kos penjagaan kesihatan telah meningkat tetapi IJN masih mengenakan kos asal kepada kerajaan yang ditetapkan pada 2003.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut diperlukan kerana permohonan IJN itu akan turut memberi kesan kepada KKM.

“Ia akan memberikan impak kepada KKM kerana kita juga masih menghantar pesakit-pesakit yang dirujuk ke IJN.

“Kita tidak dapat mempengaruhi fee yang dikenakan kerana IJN bukan di bawah KKM,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2024 yang antaranya memperuntukkan nilai penalti dinaikkan kepada kadar maksimum RM5,000 terhadap mereka yang melanggar undang-undang kesihatan awam.

Kompaun dinaikkan

RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga dan dibahaskan oleh 24 ahli parlimen.

Lukanisman ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, jumlah RM5,000 adalah had maksimum dan kompaun sebenar akan dikenakan dengan mengambil kira tahap keseriusan kesalahan dilakukan agar ia seimbang dan adil.

Lukanisman juga menegaskan tujuan utama peningkatan kadar kompaun adalah bagi memastikan kepatuhan lebih baik terhadap peraturan ditetapkan, terutama langkah pencegahan penyakit berjangkit.

"Malaysia masih mengambil pendekatan munasabah dan seimbang dalam menetapkan penilaian penalti yang tidak dipinda hampir 35 tahun.

“Di Singapura, kadar denda di bawah penyakit berjangkit A, boleh mencecah hingga SGD10,000 bagi kesalahan pertama, dan SGD20,000 bagi kesalahan berulang.

"Di New Zealand pula NZD500 bagi kesalahan pertama dan boleh meningkat NZD50 sehari jika kesalahan berkenaan berterusan, setiap hari. Ini menunjukkan denda boleh meningkat secara signifikan, jika kesalahan berlanjutan. Begitu juga dengan denda pelanggaran serius yang boleh mencapai hingga NZD10,000," katanya, hari ini.

Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, kadar maksimum denda di Malaysia lebih munasabah berbanding negara lain serta mampu bertindak sebagai instrumen pencegahan bagi golongan yang melanggar undang-undang kesihatan awam.

Katanya, kadar itu juga tidak membebankan rakyat secara berlebihan, selain ia menunjukkan penetapan penalti mengambil kira kesejahteraan rakyat dan keadaan sosioekonomi negara, menjadikannya lebih berpatutan berbanding beberapa negara lain.

"Kompaun yang akan dikenakan adalah berdasarkan mana-mana kesalahan boleh dikompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atau mana-mana peraturan dibuat di bawah akta berkenaan.

"Bayangkan jika rakyat tidak mengambil berat terhadap undang-undang berkaitan pengawal penyakit berjangkit, ini akan mengakibatkan penularan penyakit berterusan hingga menyebabkan kejadian wabak dan pandemik.

"Keperluan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi yang tinggi serta mengakibatkan peningkatan kadar kematian. Ini akan menyebabkan peningkatan kos pengurusan kes penyakit berjangkit melampau yang terpaksa ditanggung kerajaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS