Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PSM 'sekolahkan' Ku Li tentang pemimpin hebat

Malaysia melahirkan ramai ahli politik yang mahir dalam seni politik namun gagal melahirkan seorang pemimpin sejati, menurut takrifan Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.

Tegasnya, dia tidak setuju penilaian Tengku Razaleigh Hamzah mengenai Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berpotensi menjadi seorang "pemimpin hebat."

“Ini sangat tragik dan mengecewakan...

“Ia menunjukkan politik di Malaysia seolah-olah tidak bergerak maju,” kata Arutchelvan kepada Malaysiakini.

Pemimpin PSM itu kesal generasi pemimpin baru seperti Akmal memilih menuruti jejak langkah pemimpin terdahulu yang menyebabkan kerosakan besar.

“Ini bermakna kemajuan akan terus tersekat di Malaysia untuk dekad-dekad mendatang,” jelasnya.

Arutchelvan berkata seorang “pemimpin hebat” menyatukan rakyat dan membawa negara ke hadapan, bukannya memperburuk perpecahan demi kepentingan peribadi tanpa mempedulikan akibatnya.

Menurutnya pengasas dan bekas presiden Umno Onn Jaafar merupakan seorang “pemimpin hebat” yang sedar politik perkauman merugikan dan menyarankan supaya Umno membuka keahliannya kepada semua kaum.

“Kerana wawasan ini, yang masih belum dicapai oleh ahli politik 71 tahun selepas beliau meletak jawatan, beliau dipaksa keluar (Umno).

“Ramai berpendapat lebih mudah menjadi ketua puak berbanding pemimpin sebuah negara. Seorang ketua puak yang hebat tidak semestinya bermakna dia juga pemimpin hebat untuk negara,” tambahnya.

Arutchelvan berkata Akmal, seperti pemimpin-pemimpin sebelum ini, menyedari formula mencapai kejayaan politik dengan cepat melalui cara paling mudah mengeksploitasi isu kaum dan agama dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.

“Tindak balasnya yang melampau terhadap isu KK Mart dan pensijilan halal menjadikannya terkenal dan ini menarik perhatian orang seperti Tengku Razaleigh, yang walaupun sudah lanjut usia masih gagal melihat tindakan sebegini hanya membawa masalah.

“Daripada menegurnya, veteran Umno itu menggalakkannya.

“Namun, Dr Mahathir Mohamad pada usia 99 tahun, lebih tua satu dekad dari Ku Li dan enam dekad lebih tua dari Akmal turut menggunakan taktik sama untuk kekal relevan,” katanya.

Namun, Arutchelvan berkata Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li, tepat apabila meletakkan masa depan politik Akmal pada ketentuan Tuhan apabila ditanya sejauh mana kejayaannya kelak.

"Tetapi, sejauh mana beliau menguasai alam politik di dalam dan luar Umno dengan taktik serta strategi dibawa Pemuda itu, wallahu’alam," kata Razaleigh pada wawancara Utusan Online semalam.

Mahathir tetap lah Mahathir

Bekas ahli parlimen Gua Musang itu bagaimanapun percaya Akmal ada masa depan lebih baik dan cerah.

“Ini menunjukkan veteran Umno itu sedar bahawa api kemarahan akhirnya akan padam, atau lebih buruk lagi, membakar negara. Tiada gunanya merangkul kuasa jika negara terbakar,” kata Arutchelvan.

Sementara itu, timbalan pengerusi PSM mengingatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memulakan kerjaya politiknya dengan laluan serupa tetapi terpaksa mengubah haluan apabila Mahathir memecatnya pada Sept 1998.

“Jadi, lupakan tentang Mahathir yang mensia-siakan peluang keduanya untuk memperbetulkan kesilapannya apabila dia menjadi perdana menteri sekali lagi pada tahun 2018.

"Itu sudah berlalu. Mahathir tetap Mahathir.

“Tetapi Anwar masih ada masa. Dia juga diberi peluang.

“Adakah reformis ini akan melaksanakan reformasi yang dijanjikannya dan membawa Malaysia ke ‘fajar baru’ atau adakah kita ditakdirkan menyaksikan satu lagi ‘senja’ di bawah pentadbirannya?

“Adakah Anwar akan menjadi seorang negarawan yang melihat kepada generasi akan datang atau hanya seorang lagi ahli politik yang hanya memikirkan pilihan raya umum akan datang," soal Arutchelvan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS