Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan salur geran RM39.74 bilion kepada 1MDB - Laporan Audit
Diterbitkan:  Oct 14, 2024 4:06 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan geran berjumlah RM39.74 bilion kepada syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi tempoh 2019 hingga 2023.

Geran berkenaan adalah bertujuan untuk pelunasan prinsipal dan perbelanjaan lain termasuk faedah bon serta bayaran kupon, menurut Laporan Ketua Audit Negara 3/2023 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023.

"Selain pelunasan tersebut, Kerajaan Persekutuan perlu menyediakan peruntukan berjumlah RM9.46 bilion.

"Ia terdiri daripada sejumlah RM5.0 billion bagi prinsipal Sukuk Islamic Medium Term Notes (IMTN) yang akan matang pada Mei 27, 2039 dan RM4.46 bilion bagi bayaran kupon IMTN bagi tempoh 2024 sehingga 2039 (15 tahun 6 bulan)," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, Kerajaan Persekutuan perlu membuat pelunasan bayaran kupon IMTN sebanyak RM287.50 juta setahun.

Laporan itu turut mengesyorkan supaya Kerajaan Persekutuan mendapatkan aset berkaitan syarikat 1MDB dan SRC International Sdn Bhd dari pelbagai pihak, termasuk dalam dan luar negara.

Kerajaan Persekutuan juga disyorkan untuk menggunakan dana tersebut bagi menampung perbelanjaan balik hutang syarikat 1MDB dan SRC serta perbelanjaan hutang lain.

"Ini kerana memandangkan Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset (AAMKA) akan ditutup selewat-lewatnya pada 2028 seperti ditetapkan dalam Arahan Amanah AAMKA," kata laporan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS