Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lubang benam: Hasil penuh siasatan dalam peringkat akhir penelitian
Diterbitkan:  Oct 14, 2024 1:53 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

PARLIMEN l Hasil penuh siasatan insiden lubang benam di Jalan Masjid India dan laporan penilaian geo teknikal di kawasan sekitarnya kini dalam peringkat akhir penelitian oleh pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kedua-dua laporan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dahulu sebelum sebarang keputusan diambil sama ada untuk mendedahkannya kepada umum.

Dr Zaliha Mustafa

“Kerajaan sentiasa komited terhadap ketelusan yang dijalankan dalam siasatan dan lebih-lebih lagi yang melibatkan keselamatan awam, justeru hasil penuh siasatan insiden lubang benam di Jalan Masjid India dan kawasan sekitarnya dalam peringkat akhir penelitian oleh pelbagai agensi dengan koordinasi antara Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan DBKL.

“Laporan penilaian geo teknikal pula melibatkan penemuan hasil daripada penggunaan teknologi seperti Radar Menembusi Tanah (GPR) dan Ujian Graviti Mikro untuk pastikan kestabilan tanah di kawasan berisiko termasuk kawasan daerah pusat perniagaan (CBD) Kuala Lumpur dan kajian ini membantu dalam mengenal pasti sekiranya masih ada kawasan yang mungkin terdedah kepada masalah lubang benam pada masa akan datang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan P Prabakaran (PH-Batu) yang ingin tahu kesediaan kerajaan dalam mendedahkan hasil penuh penyiasatan insiden lubang benam di Jalan Masjid India kepada umum.

Pada 23 Ogos lepas, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Menjawab soalan asal Prabakaran mengenai status keselamatan terkini susulan insiden itu, Dr Zaliha berkata berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Task Force Khas (Pasukan Petugas Khas) yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif mendapati Jalan Masjid India kini disahkan selamat untuk semua bentuk aktiviti.

Beliau berkata ia selepas mengambil kira pandangan kepakaran secara kolektif daripada pelbagai agensi termasuk PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), serta pertubuhan profesional seperti Institusi Jurutera Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Geoteknikal Malaysia (MGS).

“Beberapa tindakan segera langkah pendek telah dilaksanakan iaitu audit integriti aset utiliti yang telah dilaksanakan oleh syarikat-syarikat utiliti di kawasan CBD, termasuklah Jalan Masjid India dengan pemetaan dan ujian integriti bawah tanah dijalankan bagi mengesan sebarang kelemahan pada aset-aset lama.

“Selain itu penggunaan teknologi seperti kaedah GPR dan Mackintosh Probe (MP) digunakan untuk menyiasat struktur tanah dengan ujian geofizik seperti graviti mikro dan Ground Settlement Monitoring turut digunakan untuk mengesan sebarang pergerakan tanah atau lohong bawah tanah,” katanya.

Bagi tindakan jangka panjang pula, Dr Zaliha berkata DBKL akan melaksanakan penyiasatan tanah mendalam melibatkan penggunaan teknik ‘Deep Boring’ serta ujian makmal untuk memastikan struktur tanah stabil, dengan laporan geoteknikal oleh jurutera bertauliah akan disediakan untuk kawasan dikenal pasti berisiko.

Mengenai pampasan kepada ahli keluarga mendiang Vijaya Lakshmi, Dr Zaliha berkata atas dasar keprihatinan, kerajaan melalui DBKL telah memberi sumbangan RM30,000 untuk membantu waris mangsa dalam meringankan beban mereka akibat tragedi itu.

“Keluarga mangsa juga menerima sumbangan daripada pihak swasta sebanyak RM10,000 yang merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu keluarga mangsa trauma atas kehilangan orang tersayang.

“Menyentuh tentang pampasan, kerajaan tidak menghalang sekiranya keluarga mendiang mangsa hendak mengemukakan tuntutan melalui saluran perundangan terhadap agensi yang berkaitan,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS