Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anak Ashaari nafi GISBH masih pegang Aurad Muhammadiyah

Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) hari ini menegaskan bahawa mereka tidak lagi mengamalkan sebarang amalan yang telah difatwakan sebagai sesat di negara ini.

Menjawab soalan pemberita, anak perempuan pengasas pertubuhan Al-Arqam, Khaulah Ashaari, berkata GISBH sangat konsisten untuk lagi tidak menyelewang dari ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Berkaitan dengan amalan, memang GISBH konsisten untuk tidak lagi mengamalkan lagi apa-apa ajaran yang dikatakan sesat, dan rasanya ada yang tahu bahawa kita (GISBH) mengikuti kursus dikendalikan pihak berkuasa termasuk jabatan agama Islam.

"Kami juga mengikuti proses istitabah (bertaubat), telah pun beri komitmen untuk tidak lagi amalkan apa-apa yang (diambil) dari zaman Arqam setelah itu," katanya di sidang media di Shah Alam hari ini.

Khaula kini merupakan pengarah salah sebuah anak syarikat GISBH dan juga ketua biro kebudayaan kumpulan berkenaan.

Menjawab soalan lain, Khaula juga menjelaskan GISBH tidak lagi mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah yang menjadi pegangan kumpulan al-Arqam suatu ketika dulu.

Untuk rekod al-Arqam asalnya merupakan organisasi dakwah yang diasaskan Ashaari - atau nama sebenarnya Asaari Mohamad - sebelum ia berkembang menjadi kumpulan yang disahkan sesat oleh pihak berkuasa agama.

Al-Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994 kerana mengamalkan ajaran berdasarkan fahaman Aurad Muhammadiah.

Sementara itu, ketika ditanya Khaulah berkata dia tidak pasti sekiranya masih ada sekumpulan kecil ahli GISBH mengamalkan ajaran sesat.

"Kalau itu saya tak tahu. Tapi, secara dasarnya dan kami selalu berbincang dan kami sentiasa dipantau oleh pihak jabatan agama untuk pastikan tidak berlaku lagi amalan-amalan sebegitu," katanya.

Dia juga memetik nasihat Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali bahawa ahli kumpulan itu perlu sentiasa mengikut fatwa yang ditetapkan.

"Dia berkata kita jangan mengulangi lagi sebab kita betul-betul fokus kepada perniagaan," katanya.

Video 'Abuya' video lama

Namun, Khaulah mengelak menjawab dua soalan berhubung video tular ahli GISBH mengagung-agungkan Ashaari dan dakwaan eksploitasi kanak-kanak.

"Video yang dikatakan mengagungkan Abuya (Ashaari) video lama. Kalau saya tak silap diambil pada 2011. Tapi, video itu baru keluar sekarang.

"Berkenaan dengan eksploitasi kanak-kanak, saya tidak boleh komen kerana kes masih dalam siasatan," katanya.

Dia juga menjelaskan bahawa semua sekolah di bawah GISBH menggunakan silibus diluluskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Dalam pengetahuan saya sekolah kita yang ada lesen itu memang silibus diluluskan oleh JAIS.

"Itu kita ikut, pihak datang memantau sentiasa ada silibus yang kami pakai," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS