Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Menteri Luar, Mohamad Hasan, menegaskan tiada pelanggaran mana-mana peraturan negara termasuk bagi urusan diplomatik susulan kunjungan kapal tentera China DI Pelabuhan Pulau Pinang baru-baru ini.

Mohamad berkata kunjungan dua kapal tentera laut China YANG berlabuh di Pulau Pinang itu juga mendapat kebenaran daripada Kementerian Pertahanan.

“Permohonan diplomatik daripada Kedutaan China jelas ada, yang memohon perkara tersebut untuk membuat lawatan ke sekolah yang berlatar belakang pengajaran konfusianisme dan lain-lain.

“Ini ada diuruskan oleh pihak keselamatan dan yang lain itu kita harap kalau ada apa-apa pelanggaran daripada apa yang diminta oleh mereka itu akan disiasat.

“Tetapi setakat ini memang jelas apa yang dimohon semasa permohonan diplomatik tersebut semuanya tidak melanggar apa-apa peraturan negara kita," katanya.

Mohamad yang juga ahli parlimen Rembau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) mendakwa sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China itu disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Dia yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu dilaporkan berkata, tidak wajar sambutan diberikan sebegitu ketika perairan Malaysia di Sabah dan Sarawak dicerobohi aset republik berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohamad menafikan sambutan terhadap dua kapal tentera laut asing berkenaan dibuat secara meriah berlebihan seperti didakwa pihak tertentu.

“Berkenaan dengan sambutan luar biasa, kita (kerajaan) tak kata itu sambutan luar biasa, tetapi sambutan yang meriah yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang.

“Ia selaras dengan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia dan China,” katanya.

Mengulas konflik di Laut China Selatan, Mohamad menegaskan Malaysia memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai negara penyelaras hubungan dialog Asean-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos lalu hingga Julai 2027.

"Sebagai negara penyelaras, antara peranan Malaysia adalah sebagai pengerusi bersama dengan China dalam merunding draf COC (tatakelakuan).

“Malaysia beriltizam memastikan kod tatakelakuan ini - jika dipersetujui - akan menjadi satu dokumen efektif dan substantif bagi menangani isu berkaitan Laut China Selatan.

"Malaysia akan sentiasa memastikan bahawa COC yang dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara," katanya.

Mohamad berkata demikian semasa menjawab soalan daripada Andy Muhammad Suryandy Bandi (BN-Kalabakan).

Kata Mohamad berdasarkan peta ketegangan yang berlaku di Laut China Selatan ketika ini adalah di luar kawasan maritim Malaysia.

"Di dalam konteks pengendalian isu Laut China Selatan, saya ingin menegaskan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa dijadikan teras utama dalam setiap tindakan yang diambil.

"Isu berkaitan Laut China Selatan merupakan isu yang kompleks dan sensitif.

"Setiap tindakan yang diambil oleh kerajaan adalah berdasarkan pertimbangan yang komprehensif tanpa mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS