Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Himpunan Taufan al-Aqsa: Adun Seri Serdang pula dipanggil polis

Adun Seri Serdang, Abbas Salimi Che Adzmi@Azmi hari ini hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di Kuala Lumpur bagi dirakam keterangan berhubung himpunan taufan al-Aqsa, setahun memperingati kekejaman Israel di Gaza, Palestin.

Abbas Salimi tiba kira-kira jam 11 pagi tadi untuk direkod keterangan.

Difahamkan Abbas Salimi merupakan individu kedua yang dipanggil polis berhubung himpunan yang berlangsung Jumaat lalu di hadapan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH).

Jumaat lalu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mukhriz Mahathir dipanggil polis untuk dirakamkan keterangan selepas himpunan berkenaan berakhir.

Abbas Salimi selepas dirakam keterangan memaklumkan proses berjalan dangan teratur dan pihak polis memberi layanan yang baik.

"Saya berterima kasih kepada pihak polis yang telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.

"Apa yang boleh saya maklumkan, ketika proses rakaman keterangan saya menekankan tentang kebiadaban kedutaan Amerika Syarikat (AS) yang enggan menerima memorandum daripada kita.

"Kedutaan AS berada di Malaysia, namun kurang ajar tak mahu terima memorandum daripada rakyat Malaysia. Itu yang saya tekankan, tentang kebiadaban AS," katanya.

Jumaat lalu ratusan orang berhimpun di hadapan masjid TH di Kuala Lumpur bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kekejaman Israel.

Himpunan yang berlangsung selepas selesai solat Jumaat itu turut disertai Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Mukhriz, Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid serta beberapa tokoh politik dan NGO yang lain.

Mereka berarak dari ibu pejabat TH menuju ke kedutaan AS di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagi menyerahkan memodarandum bantahan.

Bagaimanapun, hasrat untuk menyerahkan memorandum tidak kesampaian apabila disekat oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Abbas Salimi mengesahkan yang Mukhriz telah dirakam keterangan oleh pihak polis Jumaat.

"Datuk Seri Mukhriz dirakam keterangan Jumaat lalu selepas selepas himpunan dia dihubungi pihak polis dan dia terus ke sana.

"Saya pihak polis hubungi petang dan agak lewat, jadi saya minta tarikh pada hari ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS