PARLIMEN l Melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan permohonan menyertai BRICS, antara strategi kerajaan untuk mengatasi kesan konflik geopolitik yang berpanjangan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata selain itu, kerajaan turut mengutamakan sumber bekalan dari rantau ASEAN melalui pendekatan ‘nearshoring’ untuk memastikan kestabilan rantaian bekalan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah dari luar negara.
Katanya inisitiaf ini antara lain merangkumi strategi bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan industri tempatan dalam mendepani krisis ekonomi atau kesihatan global pada masa depan.
“Pelaksanaan strategi tersebut telah membuahkan hasil dalam mengukuhkan hubungan perdagangan sedia ada dan menarik pelabur asing serta meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang berwibawa untuk jangka masa panjang.
“Ini terbukti apabila Indeks Pelopor untuk Penunjuk Ekonomi Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai 2024 menunjukkan prestasi ekonomi negara mencatatkan 5.2 peratus mencapai 115.1 mata berbanding 109.4 mata pada bulan sama pada 2023.
“Ia sekali gus menggambarkan ekonomi Malaysia yang berdaya tahan di kala dunia sedang berdepan dengan cabaran geopolitik semasa seperti peperangan Rusia dan Ukraine serta pergolakan di Timur Tengah,” katanya pada sesi soal jawab pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan untuk mempelbagaikan strategi pelaburan dan perdagangan di tengah-tengah ketegangan geopolitik antarabangsa Rusia-Ukraine dan Timur Tengah.
Tengku Zafrul berkata sungguhpun ketegangan geopolitik semasa tidak memberi impak yang signifikan kepada Malaysia dalam jangka masa pendek, namun kerajaan tidak harus memandang remeh akan risiko jangka panjang sekiranya konflik tersebut berlarutan.
Beliau berkata MITI akan terus memainkan peranan yang strategik dalam mengukuhkan daya tahan dan daya saing negara, terutamanya dalam sektor-sektor keutamaan seperti semikonduktor.
Pada masa yang sama, katanya MITI juga akan mengukuhkan hubungan diplomasi perdagangan yang pragmatik dengan rakan dagang yang lain dan meneroka peluang ekonomi baharu yang strategik untuk meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi cabaran geopolitik yang sedang melanda dunia.
Katanya Rusia dan Ukraine bukanlah rakan dagang utama negara dengan perdagangan dua hala Malaysia bersama kedua-dua negara tersebut pada tahun lepas hanyalah sebanyak 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah dagangan antarabangsa negara.
Beliau berkata nilai dagangan dua hala secara individu dengan negara-negara Timur Tengah yang sedang bergolak juga adalah rendah.
- Bernama