Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes kematian model Belanda: Malaysia minta bantuan Interpol

Pihak berkuasa Malaysia mengeluarkan Notis Biru Interpol untuk mengesan pasangan warga asing yang dikaitkan dengan kematian model Belanda Ivana Smit tujuh tahun lalu.

Polis mengeluarkan notis untuk peniaga kripto Alexander William Johnson dan isterinya Lunara Almazkyzy, yang merupakan pemilik apartmen di Kuala Lumpur yang menjadi lokasi kejadian Smit jatuh pada 2017.

Notis Biru ialah notis kepada Interpol untuk mengumpulkan maklumat tambahan tentang identiti, lokasi atau aktiviti seseorang yang berkaitan dengan penyiasatan jenayah.

Peguam keluarga mendiang Sankara Nair hari ini memberitahu media mengenai perkara berkenaan semasa membincangkan kemungkinan penyelesaian tuntutan mahkamah kecuaian keluarga Smit terhadap pihak berkuasa dan kerajaan berhubung siasatan kematiannya.

“Mahkamah (sivil) dimaklumkan bahawa Notis Biru telah dikeluarkan oleh polis pada 9 Oktober 2024, untuk mengesan lokasi suspek.

“Pihak-pihak berkaitan telah mempertimbangkan kemungkinan penyelesaian yang butirannya tidak dapat didedahkan buat masa ini.

"Mahkamah telah menjadualkan tindakan susulan pada 21 Okt 2024, untuk pihak-pihak terlibat memberikan maklumat terkini mengenai penyelesaian itu; jika tiada penyelesaian dicapai, perbicaraan akan diteruskan pada tarikh tersebut.

"Perbicaraan asalnya ditetapkan hari ini dan 16 Oktober telah dikosongkan. Saya kini sedang menunggu arahan daripada anak guam saya," kata peguam itu selepas prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dia mengesahkan bahawa 'suspek' merujuk kepada Johnson dan Almazkyzy.

Warganegara Belanda Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen menyaman pihak berkuasa Malaysia kerana didakwa cuai dalam menjalankan siasatan terhadap kematian anak perempuannya Smit yang berusia 18 tahun.

Pada 7 Dis 2017, mayat Smit ditemui di balkoni unit tingkat enam CapSquare Residence di Kuala Lumpur, 14 tingkat di bawah unit Johnson dan Almazkyzy di tingkat 20.

Sejak meninggalkan Malaysia pada awal 2018, Johnson dan Almazkyzy telah mengadakan temu bual media antarabangsa di mana mereka mengaku pernah melakukan hubungan seksual dengan Smit sebelum kejadian itu tetapi menafikan bertanggungjawab atas kematiannya.

Saman sivil keluarga Smit ditujukan terhadap apa yang didakwanya sebagai penyiasatan yang cuai berhubung kematian model itu oleh pihak berkuasa.

Empat defendan dalam tuntutan mahkamah itu ialah menteri dalam negeri, ketua polis negara, pegawai penyiasat Faizal Abdullah, dan kerajaan persekutuan.

Polis pada mulanya mengkategorikan kes Smit sebagai kematian mengejut.

Kemudian pada 8 Mac 2019, Mahkamah Koroner Kuala Lumpur memutuskan kematian model itu sebagai satu kemalangan.

Bagaimanapun, pada November tahun yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan penghakiman koroner.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kemungkinan kematian akibat pembunuhan dan kemungkinan kematian itu disebabkan oleh "orang yang dikenali atau tidak dikenali" mangsa tidak disiasat dengan secukupnya.'

Susulan penghakiman Mahkamah Tinggi, polis mengumumkan bahawa pasukan petugas baru akan dibentuk untuk membuka semula siasatan kes itu.

Pada November 2020, Verstappen, 58, memfailkan tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada polis dan kerajaan.

Keluarga itu memohon writ mandamus untuk KPN, menteri dalam negeri dan/atau kerajaan mengeluarkan waran tangkap dan mengekstradisi Johnson dan Almazkyzy ke Malaysia untuk soal siasat lanjut dan kemungkinan pendakwaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS