Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN l Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mempertahankan keputusannya untuk membenarkan lebih banyak soalan diajukan pihak penyokong kerajaan (backbenchers) dalam kedudukan 10 teratas bagi sesi soal jawab lisan dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menjawab ahli Parlimen pembangkang yang bangkit mempersoalkan tindakan itu sebagai "tidak demokratik", Johari berkata bahawa jumlah ahli backenchers kini melebihi bilangan ahli parlimen pembangkang.

Johari Abdul

"Seramai 93 ahli penyokong kerajaan dan 75 ahli pembangkang di Dewan Rakyat ini. Peraturan Majlis Mesyuarat tidak menetapkan syarat mengenai susunan pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.

“Mulai mesyuarat ketiga ini, di bawah Peraturan Mesyuarat 100, saya benarkan agar lebih pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan bagi pihak backbenchers dalam kedudukan 10 teratas aturan pertanyaan.

“Kebenaran saya ini bukan bermaksud untuk menghadkan suara mana-mana pihak tetapi untuk memperluaskan suara dari backbenchers dan pembangkang dalam mengajukan pertanyaan-pertanyaan,” katanya di Dewan Rakyat pada permulaan sidang.

Dia juga berkata, akan mengkaji ketetapan itu dari semasa ke semasa.

Waktu soalan lisan di Parlimen lazimnya mengambil masa sekitar dua jam dan memaparkan soalan yang diajukan oleh ahli parlimen menteri kabinet.

Amalan soalan bergilir-gilir daripada kerajaan dan pembangkang sebelum ini diperkenalkan di bawah bekas Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia pada penggal ke-12, kata Ronald Kiandee (PN-Beluran).

Johari menegaskan dia ketika itu adalah ketua whip Pakatan Harapan sebagai sebahagian daripada barisan pembangkang dengan 82 ahli Parlimen.

Ketika berhujah menentang keputusan itu, ketua whip pembangkang Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata ini bertentangan dengan amalan sebelum ini.

Takiyuddin Hassan

“Ini adalah urusan Dewan Rakyat.

“Sepatutnya, apa-apa permohonan, sama ada daripada backbenchers ke atau daripada pembangkang, dibincang dalam jawatankuasa pilihan parlimen," katanya.

Katanya, pembangkang sepatutnya berperanan sebagai semak dan seimbang, tetapi pada masa ini tiada tindakan seumpama itu.

Shahidan Kassim (PN–Arau) kemudiannya cuba membawa Peraturan Mesyuarat 36(6) terhadap Johari berhubung perkara itu, tetapi mengubah fikirannya selepas disoal lanjut daripada speaker.

Dia kemudian cuba membawa perintah yang sama terhadap Mohd Shahar Abdullah (PH-Paya Besar), tetapi Johari menolaknya dan mengarahkannya supaya duduk.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS