Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu cuti Ahad: Hassan nafi fitnah nak pindah Kelantan
Diterbitkan:  Oct 13, 2024 10:10 PM
Dikemaskini: 2:12 PM

Ahli Parlimen PKR Hassan Abdul Karim membangkitkan mengenai hantaran di media sosial yang dikatakan memfitnah dirinya susulan isu cuti hujung minggu di Johor ditukar kepada Sabtu dan Ahad.

"Saya Hassan Abdul Karim tidak pernah membuat kenyataan bahawa saya sedia keluar dari Johor tinggal di Kelantan.

"Saya ahli Parlimen Pasir Gudang. Saya akan berkhidmat kepada rakyat Pasir Gudang dan kekal tinggal di Johor.

"Saya rakyat Johor yang setia. Rakyat Malaysia yang setia," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Hassan berkata selaku wakil rakyat dia menyatakan pandangannya "tanpa berniat mencabar sesiapa."

"Saya menghormati institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

"Sebagai rakyat Johor saya menghormati keputusan Pemangku Sultan Johor berkenaan cuti hari Ahad bermula Januari 2025," jelasnya.

Pada 7 Okt lalu Tunku Mahkota Ismail mengumumkan cuti hujung minggu di negeri tersebut ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Jan 2025.

Pemangku Sultan Johor itu memaklumkan cadangan pertukaran tersebut telah mendapat perkenan dan restu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, serta menerima pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.

Sebelum ini Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr Mohd Mazri Yahya, dipetik sebagai berkata, parti itu menganggap pertukaran hari cuti hujung minggu oleh Johor sebagai mengikut kesan tinggalan penjajah.

Mohd Mazri yang juga ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, sepatutnya kerajaan negeri mengutamakan Jumaat sebagai hari cuti hujung minggu.

Untuk rekod selain PAS, rasa tidak senang dengan pertukaran itu turut dinyatakan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Abdul Karim, yang menyatakan pandangannya sebelum Mohd Mazri.

Hassan berkata cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu di Johor bukan sekadar cuti biasa dan mempunyai makna dari segi sejarah dan budaya Johor.

Pada 11 Okt lalu Tunku Ismail memberikan reaksi kepada rasa tidak puas hati pihak terbabit dengan menasihatkan mereka agar berpindah ke negeri lain yang menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu.

"Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu," titah baginda.

Semalam, salah seorang tokoh ulama PAS Ahmad Dusuki Abd Rani turut membangkitkan isu pertukaran cuti itu, berkata “hari Jumaat adalah hari pengadilan Allah.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS